Panas! Pegawai MB Perak tempelak anak Razman

Panas! Pegawai MB Perak tempelak anak Razman

Tuan Ustaz Muhammad Rif’aat Razman, yang saya hormati dan dikasihi, tulisan ini bukanlah untuk mengusik jiwa yang tenang apatah lagi menjentik persahabatan yang dibina. Terusik untuk saya memberi maklumbalas diatas penyataan Tuan Ustaz berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Hj Saarani bin Mohamad yang juga dikiaskan dalam penulisan Tuan.

Pertamanya, izinkan saya memperbetulkan kenyataan berkenaan agenda lobi-melobi yang Tuan Ustaz nyatakan bagi kerusi parlimen Gerik. Mungkin maklumat yang sampai kepada Tuan Ustaz itu bukanlah maklumat sahih yang disampaikan oleh lidah yang tajam tidak bertulang atau mungkin sahaja Tuan Ustaz boleh merujuk kepada kepimpinan UMNO di kawasan berkenaan terlebih dahulu.

UMNO mempunyai strukturnya, dasar parti diperingkat akar umbi daripada cawangan mahupun bahagian sehingglah peringkat negeri dan pusat. Pemilihan calon itu dilakukan penuh hemah, supaya yang dipilih itu benar-benar boleh menjalankan amanah yang diberi dan di pikul.

Jika calon setempat yang menjadi kegusaran, biarlah UMNO sendiri yang menentukan keruh atau jernih airnya sendiri.

Saya amat mengagumi penulisan Tuan Ustaz yang menggunakan pelbagai istilah daripada Lenin, Harold Laswell sehinggalah naratif politik daripada Machiavelli. Namun, jika kita menyorot sisi beberapa istilah dalam Al-Quran yang mengisyaratkan kepada makna politik. Antara istilah tersebut ialah khilafa (al-baqarah:30, yunus:14 ) hizb ( al-maidah: 56 ) syura (al-syura:38) al-mulk (yusuf: 101) dan bermacam-macam jenis lagi istilah.

Istilah-istilah inilah yang menunjukkan kepada manusia mengenai prinsip kuasa, pemerintahan atau hal pentadbiran. Hadith Nabi yang menunjukkan kepada konsep politik ialah antaranya sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawab terhadapnya”.

Maka atas dasar tanggungjawab inilah kenyataan dikeluarkan oleh YAB Menteri Besar yang menyatakan juga pendirian beliau berkenaan dengan politik semasa dalam kenyataannya yang dipetik oleh Tuan Ustaz.

Kenyataan ini boleh diolah dari pelbagai tafsiran, jika memahami secara mendalam apa yang cuba disampaikan oleh YAB Menteri Besar , tentu analogi pemahamanya berbeza, jika tajuk yang jadi ukuran, maka intipati kandungan yang disampaikan tidak akan kesampaian jua akhirnya. Kerana istilah-istilah inilah yang dimainkan oleh pihak pembangkang sehingga jerih telinga ini mendengarnya.

Jika Pas mempunyai pendirian, UMNO juga mempunyai pendirian tersendiri dan pendirian ini akan terus kekal kerana luka yang telah dihiris di letak pula titisan limau, sehingga seluruh tubuh terasa bisanya.

Akhir kalam, saya memetik kata-kata Tuan Ustaz, konsep penyatuan ummah ini masih boleh berlaku dalam konteks kemasyaraktan walaupun formulanya masih dihitung dicongak. Penyatuan Ummah yang dibina hasil linangan air mata dengan penyatuan dua parti terbesar ini atas nama Islam.

Allah S.W.T jua sebaik-baik percaturan.

Semoga kita dipelihara dan diberi kekuatan dari segala ujian yang berlaku.

Sekian…

           

CATEGORIES

COMMENTS