Covid-19: Gara-gara kemurungan kerana perintah berkurung, pesara cekik isteri hingga mati

Covid-19: Gara-gara kemurungan kerana perintah berkurung, pesara cekik isteri hingga mati

Seorang pesara di United Kingdom didapati bersalah membunuh isterinya di kediaman mereka di Cwmbran, selatan Wales.

Dalam kejadian pada 28 Mac tahun lepas, Anthony Williams, 70, secara tiba-tiba naik berang lalu mencekik isterinya Ruth, 67, hingga mati.

Williams dipercayai mengalami tekanan dan kemurungan sejak perintah berkurung dikuatkuasakan di United Kingdom awal tahun lalu.

Tertuduh yang mengaku membunuh isterinya tanpa niat berkata dia kehilangan keupayaan berfikir apabila keadaan mental terjejas sejak lockdown dilaksanakan.

Difahamkan Williams sering berasa tidak tenang atas perkara-perkara remeh menyebabkan dia tidak dapat tidur beberapa hari sebelum kejadian.

Pada hari kejadian, tertuduh yang memberitahu isterinya tentang kerisauan dialaminya itu walau bagaimanapun tidak mendapat reaksi yang dimahukan.

Akibatnya, Williams tidak semena-mena naik berang lalu mencekik Ruth sebelum mangsa berjaya melarikan diri.

Mangsa yang cuba keluar melalui pintu hadapan bagaimanapun dicekik sekali lagi hingga mati.

Ruth disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital dengan kecederaan pada leher, muka dan mulut.

Hakim Mahkamah Swansea, Paul Thomas pada Khamis menjatuhi hukuman lima tahun penjara ke atas Williams dengan mengambil kira keadaan mental tertuduh ketika itu.

Sementara itu, anak pasangan berkenaan, Emma Williams, 40, berkata ibu bapanya saling menyayangi dan menghabiskan 90 peratus bersama.

Tambah Emma, bapanya seorang yang baik dan dia tidak pernah mendengar ibu bapanya meninggi suara atau bertengkar.

Namun, kata Emma, bapanya mula menunjukkan sikap yang pelik sejak Januari 2020, termasuk mendakwa akan kehilangan rumah didiami mereka serta obses dengan langkah-langkah menjimatkan wang. – AA

CATEGORIES

COMMENTS