Keputusan KPM ‘flip flop’ buka sekolah menyusahkan mak bapak

Keputusan KPM ‘flip flop’ buka sekolah menyusahkan mak bapak

Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) perlu berhenti membuat keputusan membuka dan menutup sekolah secara sela menyela atau “flip flop” kerana ia akan menyusahkan pelajar, ibu bapa dan guru.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan membuat teguran itu selepas KPM semalam mengumumkan pembukaan sekolah secara berperingkat mulai 1 Mac.

Beliau berkata, ini berlaku sedangkan ibu bapa telah bergolak-bergadai membeli pelbagai peranti digital bagi pembelajaran secara atas talian di rumah.

“Semua ini sangat membebankan kepada mereka yang berpendapatan rendah dan mempunyai keluarga yang besar.

“Kerajaan pula baharu sahaja melancarkan DidikTV bagi maksud menjayakan mod pengajaran dan pembelajaran di rumah.

“Semua ini menghantar isyarat yang sangat mengelirukan tentang ke mana hala tuju sebenar mod pendidikan digital KPM,”katanya dalam kenyataan.

Mohamad berkata, KPM sepatutnya memperkasakan pembelajaran digital sementara negara pulih sepenuhnya daripada wabak Covid-19.

“Pendidikan anak-anak kita adalah urusan penting yang tidak boleh terhenti dan menjadi kucar-kacir dengan keputusan secara sela menyela sebegini,”katanya.

Semalam Menteri Kanan (Pendidikan) Radzi Jidin berkata, pembukaan sekolah di seluruh negara akan bermula 1 Mac secara berperingkat dengan permulaan bagi pelajar prasekolah, serta Tahun 1 dan 2.

Bagi Tahun 3 hingga 6, sesi persekolahan rendah bermula pda 8 Mac dan bagi sekolah menengah di Johor, Terengganu, Kelantan dan Kedah akan bermula 4 April.

“Selebihnya bagi negeri lain seperti Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bermula 5 April,” kata Radzi.

Rabu lalu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melancarkan DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (DidikTV KPM) yang akan mula bersiaran di NTV7. – FMT

CATEGORIES

COMMENTS