KOLUM| Membawa diri ke London

KOLUM| Membawa diri ke London

Beberapa bulan sebelum Muktamar Pas di Kuala Selangor, kami sudah rasai gegar di dinding bahtera perjuangan. Budak-budak baru dapat benda, ghairah menebuk lantai bantera demi mendapatkan air yang lebih mudah dan segera. Budak-budak baru hendak belajar belayar memang tidak pernah merasai kegetiran membina bahtera segagah ini. Mengharung ombak, meredah angin kencang.

Memang akhirnya kami ‘gugur setandan’ dibawah laungan kalimah membesarkan Allah s.w.t. Saya dan rakan-rakan sepejabat di UTP telah membuat beberapa jangkaan tentang muktamar tersebut. Kami menjangkakan bahawa team Jebon akan kalah. Ini berdasarkan kempen-kempen yang dijalankan oleh kumpulan ulama muda di peringkat akar umbi. Mereka bersungguh-sungguh untuk menyingkirkan abang Mat Sabu dan kuncu-kuncunya.

Kami merancang untuk berehat selepas muktamar itu. Berehat dan bertenang. Tidak mahu fikir sangat tentang politik. Asyik bergaduh saja. Setakat berbeza pandangan masih dikira munasabah. Akan tetapi kalau sudah macam hendak memutuskan silaturahim, lebih baik lupakan politik seperti itu. Dan kami memikirkan masa hadapan dengan cara kami sendiri.

Ketika itu, kami baru sahaja menerima geran penyelidikan daripada Penang World Heritage yang diketuai oleh Dato Prof. Dr. Ahmad Murad Merican. Pada tahun 2013, beberapa rakan saya pergi membuat tinjuan awal di SOAS dan bertemu beberapa pegawai penyelidik untuk berbincang tentang projek kami.

Projek kami adalah untuk mengkaji manuskrip koleksi surat-surat Francis Light. Kami membuat keputusan untuk menjalankan kajian itu sejurus selepas muktamar selesai. Mengikut peraturan university, kami tidak boleh keluar negara sekaligus. Kami memastikan perancangan kami berjalan lancar, kami aturkan jadual perjalanan kami berperingkat-peringkat. Peringkat pertama, Ustaz Abd ur Rahman pergi bersama Prof. Dr. Ahmad Murad. Selang beberapa hari, Ustaz Pisol pergi bersama Dr. Zulqarnain. Kemudian barulah saya, Dr. Raja Ahmad Iskandar dan Dr. Nuri pergi. Ini kerana kami bertiga hadir muktamar di Kuala Selangor.

Dua tiga hari selepas team Jebon tewas sempurna dalam Muktamar Pas di Kuala Selangor, kamipun membawa diri hingga ke London. Kami mengurung diri di Perpustakaan SOAS mencari dan membaca warkah-warkah tinggalan Francis Light.

Kami bertemu di London dan sempat bersama dalam beberapa hari, sebelum kami berperingkat-peringkat pulang ke tanahair. Dalam kesempatan kami berenam di kota London, sempat kami ke Manchester, Birimingham dan Swansea. Kami bertemu dengan para pelajar Malaysia yang ingin mengetahui perkembangan terkini Pas. Ramai pelajar merasa terkilan peristiwa dalam muktamar tetapi ia sekadar keluhan sahaja.

Di SOAS, kami periksa dan membelek-belek warkah-warkah tersebut yang sebanyak sebelas jilid berperingkat-peringkat. Mula-mula Ustaz Rahman dengan Prof Dr. Ahmad Murad buat kerja-kerja yang dinamakan codicology. Kemudian disambung oleh kami seterusnya hingga selesai.

Sepanjang seminggu kami menelaah, banyak yang kami perolehi. Terdapat lebih seribu pucuk surat lama yang kami belek. Tentu sahaja menarik sekali pengalaman itu. Membaca kisah sedih, khabar gembira dan sebagainya. Setelah itu, kamipun berasa insaf kerana musibah yang menimpa orang dulukala jauh lebih perit dan sakit daripada yang dialami kami di sini.

Kami di muktamar hanya kalah untuk jawatan politik parti pembangkang. Itupun kami sudah jangkakan kekalahan itu. Namun di dalam koleksi surat-surat itu, kami membaca bagaimana sebuah kerajaan kehilangan tanah dan wilayahnya. Seorang tuan kehilangan para hamba-hambanya. Cerita kehilangan takhta.

Kami tidak kalah kerana berebut peluang dan jawatan semasa menjadi kerajaan. Ini lagi parah. Apabila sudah ada kuasa di tangan (jadi kerajaan), kuasa di langitpun akan cuba diraih. Habis semua yang menentang akan dinerakakan. Tidak hairanlah bahtera yang kami tinggalkan kini bergolak balik. Masing-masing mempertahankan jawatan dan kedudukan. Kemanisan perjuangan pasti hilang sedikit demi sedikit.

Di perpustakaan SOAS, kami juga temui warkah Che’ Lena, perempuan Melayu sepi yang ditinggalkan suami Inggeris. Beliau adalah isteri John Marsden, pegawai Inggeris yang bertugas di Bengkhulu. Kisah pembesar Melayu dikejar pemiutang. Keluh kesah Sultan kehilangan tanah jajahan. Seribu satu tragedi bangsa. Lalu mencatatlah kami segala yang mampu dikutip buat santapan anak bangsa. Buat pelajaran hidup. Kekalahan kami dalam muktamar sangat kecil untuk kesalkan. Begitulah cara kami menzahirkan rasa kecewa. Iaitu menelaah tragedi yang lebih besar.

Di London kami menumpang rumah pelajar dengan kadar bayaran yang ala kadar. Pada masa itu, rumah mereka sedang kosong kerana cuti semester. Bulan Julai adalah musim panas di UK. Siangnya panjang dan malamnya pendek. Itulah musim yang dinanti-nantikan oleh orang di UK. Banyak acara boleh dilakukan pada siang hari.

Di rumah itu, kami masak sendiri dan ia sangat menjimatkan perbelanjaan kami. Para pelajar yang kami tumpangpun gembira merasa masakan Malaysia yang lama tidak dinikmati. Hari-hari mereka makan makanan barat. Sesekali merasa masakan Arab dan kari Malaysia, memang menyelerakan. Ustaz Pisol, Dr. Zulkarnain dan Dr. Nuri pandai memasak.

Sepanjang kami di sana, saya, Dr. Raja dan Dr. Zulkarnain seolah-olah menjadi tuan rumah kerana kami bertiga pernah tinggal di UK. Dan itulah waktunya kami melepas rindu di kota Inggeris.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (1)
  • comment-avatar

    tadalafil reviews – best place to buy tadalafil online reviews buy real tadalafil online

  • Disqus ( )