KOLUM| Genap setahun jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan

KOLUM| Genap setahun jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan

KOLUM | Tulisan ini dibuat sempena jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan munculnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada tahun lalu.

Membedah sejarah itu dari kaca mata budaya mungkin ibarat menikam mata sendiri. Seperti Kasim Selamat dalam filem Ibu Mertuaku. Namun episod itulah klimaks kehebatan P Ramlee menyatakan kebenaran melalui karya epiknya. Semua tertikam.

Artikel pendek ini tentu tidak memadai untuk mengupas drama politik setahun lalu. Tulisan ini sekadar satu mukadimah. Ia bagai permukaan yang cetek dan tohor. Tidak mendalam.

Simpang-siur berpolitik bukannya perjalanan untuk habuan mata, kaki dan perut tetapi adalah ibrah buat bangsa yang mahu belajar untuk memajukan masyarakat. Juga bukan sekadar menambah pengalaman dan pengetahuan peribadi.

Jauh lebih penting ialah untuk membentuk sebuah negara yang diidamkan: Malaysia Baru. Atau namakan apa sahaja. Ia masih tetap bergantung pada tafsiran masing-masing.

Menulis tentang sejarah tahun yang lalu tidak seharusnya berhenti dengan menulis artikel, buku atau jurnal Scopus. Sebaliknya ia proses memahami bagaimana budaya yang wujud dalam masyarakat membentuk sejarah itu terjadi.

Ini bukan bermakna sejarah boleh diramalkan tetapi sejarah boleh diperbetul atau difahami. Maka apa yang berlaku di Sheraton tahun lalu boleh dielakkan dan digagalkan.

Ahli politik sememangnya akan terus menghukum dengan pelbagai slogan dan cogan kata dari mana-mana kitab suci hingga kitab Machiavelli bagi menyokong hujah mereka. Perbuatan dan niat ahli politik dibentuk oleh falsafah politik atau akidah perjuangan. Mereka memiliki sihir luar biasa. Sejarah dan kebenaran boleh dibolak-balik semahunya.

Sejarah besar untuk negara

Sejarah mengkaji peristiwa, manakala ilmu budaya menjelaskan sebab dan sifat sesuatu peristiwa yang sama. Oleh sebab itu, ilmu budaya muncul sebelum sejarah. Ini kerana kejadian sejarah adalah akibat dari sifat dan sebab yang datang sebelumnya.

Sepatutnya memahami budaya masyarakat adalah satu tanggungjawab politik. Ia bukan satu aktiviti seperti nyanyian dan tari menari. Ia adalah memahami bagaimana masyarakat berfikir dan bertindak.

Pada sesetengah puak mereka menganggap kejadian setahun lalu sebagai pengkhianatan dan puak bertentangan pula mentafsir ia sebagai suatu anugerah Tuhan. Dan jangan lupa ada juga yang menyimpulkan ia sebagai “sama saja”.

Tidak kurang juga yang langsung tidak mempeduli kisah tersebut.

Sesuatu peristiwa boleh ditafsir dari pelbagai sudut yang berbeza. Perbezaan ini wujud kerana banyak faktor.

 

Kejatuhan BN setelah enam dekad menjadi kerajaan bukanlah kisah yang kecil. Ini sejarah besar negara. Lebih besar sebenarnya ialah perubahan itu berlaku secara demokratik dan tiada insiden seperti rusuhan atau himpunan yang berlaku.

Ia seperti hari-hari berlalu mengikut kalender dan waktunya. Apakah perubahan yang berlangsung secara aman itu suatu yang biasa? Tidak. Tindak balas perubahan itu sebenarnya berlaku sepanjang 22 bulan PH memerintah.

Sama ada PH menyedari atau tidak, keterpendaman puak yang kalah mulai terbentuk sedikit demi sedikit. Kuasa marah dan dendam di luar PH merobohkan tembok keyakinan dan harapan sebahagian pimpinan gabungan itu.

Fitrah makluk bersosial

Ia ibarat virus yang merebak secara senyap siang dan malam tanpa mengira batas sempadan. Pada masa sama PH pula terus tegar cuba membentuk masyarakat dan negara idealis yang diimpikan sedangkan kerangka negara masih rapuh.

Salahkah PH? Ini bukan soal salah atau betul. Ia adalah proses membentuk masyarakat dengan wibawa dan membina negara yang lebih bertamadun. Suara PH yang cenderung memegang doktrin politik semata-mata harus juga mengambil kira kesediaan penerimaan masyarakat terhadap idea politik baru.

Pada ketika itu kerangka bernegara kita masih hijau. Tinggalan sejarah dan kesan luka silam tidak sepenuhnya sembuh. Akar bangsa dan negara harus ditelaah lebih mendalam.

Kepuakan memang wujud secara alami dalam hidup manusia sebagai makhluk bersosial. Manusia akan membentuk puak berdasarkan kesamaan antara mereka.

 

Ada yang melihat ciri-ciri identiti itu dari segi warna kulit, geografi, mazhab, etnik, bahasa, budaya, kelas, idealogi dan – paling kuat – berasaskan parti politik.

Ibnu Khaldun dalam teorinya menjelaskan bahawa konsep kesatuan atau asabiyah sebagai faktor sesuatu kaum, puak, kabilah atau parti berhadapan dengan seteru mereka dalam persaingan mendapat keperluan badaniah hinggalah keperluan intelektual insanul kamil.

Budaya hidup yang berbeza antara kelompok membentuk kesatuan sosial secara semula jadi. Daripada seorang individu hinggalah kelompok yang lebih besar, ia saling memerlukan bagi mengawal kepentingan (sama ada untuk badaniah dan juga intelektual) bersama.

Di sinilah peri pentingnya peranan ahli politik merangka ilusi melalui slogan, manifesto dan hukuman bagi menghasilkan bentuk tindakan yang dilakukan.

 

Pada masa sama, intelektual dan syariah (agama) akan mengehadkan, melengkapkan dan membawa tindakan yang lebih realistik. Pada peringkat inilah persaingan sengit antara puak akan berlaku.

Masing-masing akan menggunakan segala apa yang ada bagi mencapai matlamat mereka. Ibarat orang yang terkapai-kapai hanyut di arus deras, apa yang tercapai di tangan akan dipaut.

Dalam pergelutan setahun lalu, akhirnya PH yang kecundang. PN berpaut dengan apa yang dicapai oleh tangan mereka semasa hanyut dalam arus deras.

Hebat berpolitik PH tidak menyamai kelicikan PN dan Muafakat Nasional (MN) meraih kesempatan yang terhidang di hadapan mereka.

Pun begitu perjalanan idea politik PH masih jauh dan panjang. Ia menuntut stamina yang bukan sebarangan. Siapa yang lelah, akan kalah.

Apabila PAS berada sebakul dengan haiwan politik (meminjam istilah dari Aristotle) lain, ia sangat menarik untuk difikirkan dan direnungi sedalam-dalamnya. Dari situlah kita akan melihat bagaimana al-Quran yang dibumikan boleh menyubur kehidupan bernegara atau menjadi ‘neraka’.

Syurga Tuhan bukan kita yang menentukan tetapi atas kasih sayang-Nya jualah kita berserah. Atas pertimbangan yang sama, kelompok tertentu telah membina garis pemisah dengan yang lain.

Kepada PN dan MN, selamat ulang tahun pertama mendapat kuasa. Soal kerajaan tebuk atap atau pintu belakang, biarlah ahli politik bersilat hujah. Kepada PH, jangan putus asa dan kecewa. Terus mara. Chalo! – MK


MUHAIMIN SULAM ialah penyelidik, penulis esei dan buku.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Perak Insights.

CATEGORIES

COMMENTS