Peja dedah perbincangan agihan kerusi dengan UMNO belum dimulakan

Peja dedah perbincangan agihan kerusi dengan UMNO belum dimulakan

Ahmad Faizal Azumu dilantik untuk mengetuai perbincangan berhubung pengagihan kerusi PPBM bersama parti komponen lain dalam Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Faizal yang memaklumkan perkara itu hari ini berkata, semua parti PN berhak menyatakan minat mereka untuk bertanding di mana-mana kerusi.

Timbalan presiden PPBM itu juga menyangkal dakwaan bahawa partinya ingin mendominasi pertandingan kerusi.

“Untuk makluman juga, perbincangan berkenaan pengagihan kerusi dengan Umno belum dimulakan.

“Jadi kalau ada dakwaan PPBM ingin mengaut terlalu banyak kerusi, itu tidak tepat kerana perbincangan belum dimulakan lagi,” katanya memaklumkan beliau dilantik oleh Presiden PPBM Muhyiddin Yassin bagi mengetuai perbincangan itu.

Menurut beliau, PPBM tiada masalah untuk berbincang dengan mana-mana pihak mengenai pengagihan kerusi.

Faizal, yang juga bekas menteri besar Perak berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Pusat Khidmat Gerakan Ipoh di Kampung Simee.

Apabila ditanya sama ada beliau mempunyai formula tertentu untuk pengagihan kerusi antara parti komponen PN, Faizal berkata perkara itu perlu dibincangkan.

“Kalau bincang dengan baik, takkan kecoh, kita kena cari titik pertemuan, sudah tentu ada (formula),” katanya.

Minggu lalu, Umno menafikan dakwaan tular di media sosial yang mengatakan parti itu tidak akan bekerjasama dengan PPBM dan gabungan PN pada PRU15.

Jabatan Komunikasi Strategik Penerangan Umno berkata, pihaknya memandang serius dakwaan berkaitan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebelum ini, dan sebarang kenyataan mengenai keputusan MKT Umno adalah tidak sahih, melainkan ia datang menerusi kenyataan rasmi parti atau kepemimpinannya. – FMT

CATEGORIES

COMMENTS