MP gesa KPM jelaskan kenapa sekolah tak selamat dibuka semula di Sarawak, di sini pula selamat?

MP gesa KPM jelaskan kenapa sekolah tak selamat dibuka semula di Sarawak, di sini pula selamat?

Kementerian Pendidikan digesa menjelaskan mengapa sekolah di zon merah Covid-19 di Sarawak dibenarkan beroperasi semula hanya pada 14 Mac ketika sekolah di Semenanjung dan Sabah akan dibuka semula esok.

Bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching berkata, sekiranya pihak berkuasa berpendapat sekolah tidak selamat dibuka semula di zon merah di Sarawak, “mengapa ia selamat pula di kawasan lain di Malaysia?”

Ahli Parlimen Kulai itu dalam kenyataan berkata, keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) menutup sekolah di zon merah Covid-19 sehingga 14 Mac merupakan “tamparan terhadap Kementerian Pendidikan (KPM)”.

Beliau berkata, pada dasarnya kerajaan negeri seolah-olah berkata “saya tidak bersetuju dengan anda”.

Katanya, menurut SDMC, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan Jabatan Kesihatan Sarawak dan kementerian terbabit.

Teo Nie Ching.

Semalam, Sarawak mencatatkan 255 kes baharu Covid-19.

Di Semenanjung, Johor melaporkan 314 kes baharu, Selangor 862, Perak 305 dan Kuala Lumpur 117.

Jumlah kes aktif di Sarawak berjumlah 2,397; Johor 2,734; Selangor 3,002; Perak 3,626 dan Kuala Lumpur 2,911.

Teo berkata, Sarawak kini berada dalam perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sementara Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang masih berada di bawah PKP.

“Bukankah faktor ini beri petunjuk bahawa keadaan Covid-19 di Selangor, Johor, dan lain-lain juga sangat kritikal?

“Jadi, apakah faktor yang digunakan untuk memutuskan sekolah di zon merah di Sarawak ditutup sehingga 14 Mac, sementara sekolah di zon merah di negeri lain boleh dibuka semula?

“Apakah petunjuk yang diguna pakai untuk mencapai kesimpulan saintifik dan logik bahawa memang selamat untuk membuka semula sekolah?

“KPM perlu meyakinkan semua rakyat Malaysia bahawa keputusan mereka dibuat secara profesional dengan bukti dan analisis yang tepat dan mereka sudah memberikan pertimbangan yang sama untuk anak-anak di zon merah di luar Sarawak,” katanya. – FMT

CATEGORIES

COMMENTS