Panas! Pemimpin Bersatu tempelak Saarani ingkar etika penubuhan PN

Panas! Pemimpin Bersatu tempelak Saarani ingkar etika penubuhan PN

Kenyataan UMNO Perak ibarat talak tiga kepada Bersatu

PARIT BUNTAR – Kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad yang memberi jaminan tidak berlaku pertembungan kerusi antara parti itu hanya dengan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang seolah-olah telah menjatuhkan talak tiga kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Bersatu Bahagian Parit Buntar, Md. Nayan Salleh berkata, tindakan perbincangan agihan kerusi di Perak yang hanya membabitkan Barisan Nasional (BN) dengan Pas sahaja seolah-oleh mereka lupa kewujudan Bersatu dan ingkar etika penubuhan Perikanan Nasional (PN).

Menurutnya, sebagai pemimpin sesebuah parti politik matang dalam PN, Saarani sepatutnya tidak boleh mengabaikan Bersatu dan perlu kembali memikirkan agenda asal penubuhan PN yang mahu menyatu padukan rakyat khususnya bangsa Melayu.

“Bagi kami keputusan penentuan kerusi parti biarlah ditentukan pucuk pimpinan parti dalam PN.

“Siapapun calon atau dari parti mana kami akan beri sokongan, biarlah atas keputusan bersama dan persetujuan dari semua kepimpinan parti dalam PN.

“Jadi kenyataan Saarani ini seolah-oleh dia telah mengenepikan Bersatu wujud dalam PN atau lupa etika atau perjanjian asal penubuhan PN,” katanya ditemui media selepas Program Gunting Rambut Percuma anjuran Armada dengan kerjasama Bersatu Parit Buntar.

Menurutnya lagi, sekiranya Saarani terus dengan agendanya untuk tidak mahu berkerjasama dengan Bersatu, pihaknya yakin akan timbul pelbagai masalah lain sekaligus membuat rakyat hilang keyakinan pada PN dan akan memberi ruang pada Pakatan Harapan (PH) untuk berkuasa pada PRU-15 nanti.

Dalam program itu beliau berkata seramai 50 pelajar di Sungai Baru Tanjung Piandang yang bakal memulakan sesi persekolahan esok menerima gunting rambut percuma yang dibiayai sepenuhnya oleh Armada dengan kerjasama Bersatu Parit Buntar. – PG

CATEGORIES

COMMENTS