UMNO tak perlu terhegeh-hegeh nak kerjasama dengan PAS

UMNO tak perlu terhegeh-hegeh nak kerjasama dengan PAS

UMNO harus mempunyai jati diri dan bersifat berdikari untuk menjadi pembangkang yang berwibawa serta tidak perlu tergesa-gesa untuk menjalinkan kerjasama dengan parti lain terutama Pas.

Ramai yang beranggapan, UMNO selepas kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, begitu terdesak untuk membentuk pakatan pembangkang dengan Pas sedangkan permasalahan dalaman parti itu patut menjadi keutamaan ketika ini.

Penganalisis politik Md Shukri Shuaib berkata ketika ini UMNO dilihat terlalu ‘terhegeh-hegeh’ untuk bekerjasama dengan Pas, malah parti yang berusia lebih 70 tahun itu seperti telah berjaya “dijinakkan” oleh Pas.

“UMNO adalah parti yang sepatutnya lebih dominan kerana ia lebih kuat daripada Pas dari segi bilangan kerusi (di Parlimen). Saya fikir tidak ada harapan bagi hubungan UMNO dan Pas pada masa depan.

“Kalau dilihat dari sudut sokongan orang Pas kepada UMNO yang masih tidak mesra dengan UMNO, tidak ada untungnya bagi parti itu mengadakan jalinan mesra bersama Pas kerana terbukti Pas bukanlah rakan gabungan yang baik,” kata Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Md Shukri berkata pandangan ‘jijik’ terhadap UMNO masih menebal dalam kalangan penyokong Pas dan mereka masih menganggap UMNO sebuah parti yang zalim dan tidak memenuhi kehendak Islam.

Dalam pada itu, beliau berkata tiada salahnya jika barisan kepimpinan UMNO menyertai komponen Pakatan Harapan (PH) dan bersama dengan kerajaan hari ini.

“Dengan UMNO yang mempunyai pengalaman (menjadi kerajaan) dan penyokong sendiri jadi saya fikir hal ini mungkin boleh dirundingkan. Bila kita bercakap tentang UMNO, kita jangan fikir tentang pemimpinnya.

“Jangan fikir tentang (bekas Presiden) Datuk Seri Najib Razak dan (Presiden) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tetapi kita harus fikir apa yang terbaik untuk anggota UMNO dan rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali mempunyai pandangan berbeza dan berpendapat UMNO harus bekerjasama dengan Pas bagi menjadikan pembangkang sebuah pihak yang dominan, kuat dan disegani.

Katanya kerjasama antara kedua-dua pembangkang itu perlu bagi memastikan hak-hak raja dan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan terus terbela.

“Sekarang ini dapat dilihat benda-benda ini (hak-hak raja dan orang Melayu) banyak disentuh dan ia mungkin sensitif kepada orang Melayu. Jadi kerjasama ini sangat diperlukan,” katanya.

Mohd Fuad berkata tidak mustahil sekiranya UMNO dan Pas berjaya membentuk satu barisan menjelang PRU15 nanti, seperti yang dilakukan oleh Pakatan Harapan pada PRU14 lepas.

Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan bahawa kerjasama UMNO dan Pas hanya melibatkan perkara-perkara yang dipersetujui bersama seperti dalam pilihan raya kecil dan memperjuangkan masalah rakyat.

“Tetapi kita (UMNO dan Pas) tidak akan bekerjasama atas perkara-perkara yang kita saling tidak bersetuju. Perlu ingat, kita hanya akan bekerjasama dan bukan bergabung,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO 2018, di sini hari ini.

Mohamad berkata kerjasama di antara kedua-dua parti itu akan menjadikan negara mempunyai sebuah blok pembangkang yang berwibawa dan dapat memantau prestasi kerajaan hari ini dengan baik.

Kerjasama di antara UMNO dan Pas dibangkitkan secara komprehensif pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 sejak semalam termasuk oleh ketiga-tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri dengan Pemuda dilihat lebih cenderung tidak begitu menyokong kerjasama itu.

Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Sabtu malam berkata UMNO akan meneruskan kerjasama dalam Gagasan Pembangkang seperti Pas atas konsep ta’awun iaitu kerjasama untuk kemaslahatan bersama, tidak terikat dan bebas dengan cara yang tersendiri. – AA

CATEGORIES

COMMENTS