Asyraf kata jangan salahkan UMNO jika ada pemimpin buat hal

Asyraf kata jangan salahkan UMNO jika ada pemimpin buat hal

Bukan salah parti apabila segelintir pemimpin dan ahli membuat angkara kerana lupa diri, lupa daratan, dan lupa “akar perjuangan”, kata Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata semua ahli Umno kini tidak lagi boleh mengulangi kesilapan sama untuk memastikan parti kembali kukuh dan kuat.

“Akhirnya Tuhan takdirkan Umno diuji hilang kuasa. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Jangan angkuh, jangan sombong untuk terus muhasabah, berubah, dan lakukan pembetulan,” katanya dalam kenyataan.

Asyraf berkata, ahli Umno juga tidak boleh menari mengikut lagu dendangan musuh yang sentiasa khianat dan mendengki parti.

Menyeru ahli mengutamakan kesatuan dan solidariti, beliau menambah pelbagai usaha cuba dibuat untuk melemahkan dan menghancurkan Umno, menggunakan pelbagai cara dari luar dan dalam, sejak parti itu hilang kuasa pada Mei 2018.

Antaranya cubaan mengharamkan Umno dan menggugut pemimpinnya. Malah, katanya, usaha melemahkan Umno masih berterusan sehingga ke saat ini termasuk menggunakan pendekatan “pisau, pen, dan buku cek”.

“Ahli yang punya ketahanan terus kekal setia mempertahankan parti biarpun menjadi lilin membakar diri.

“Namun, tidak kurang juga yang cuak, gelabah dan tidak tahan diuji, lantas keluar meninggalkan parti,” tambahnya.

Baru-baru ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata pemimpin parti yang enggan “menggadaikan” Umno kepada pihak yang cuba mengawal parti itu menjadi mangsa kepada propaganda yang mendakwa mereka cuba menyelamatkan diri daripada pendakwaan mahkamah.

Sedangkan pemimpin “kluster mahkamah” itulah yang katanya berani dan setia walau apa menimpa mereka.

“Jika mahu lihat bagaimana kaedah menyelamatkan diri, boleh lihat katak yang kini selesa ‘di seberang jalan’,” katanya di Facebook.

“Boleh juga lihat kepada burung belatuk yang sedng kekenyangan dapat dedak ‘di belakang rumah’.” – FMT

CATEGORIES

COMMENTS