Panas! Tajuddin warning PAS, sokong Bersatu di kerusi UMNO, kau siap!

Panas! Tajuddin warning PAS, sokong Bersatu di kerusi UMNO, kau siap!

UMNO tiada masalah jika Pas ingin bekerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), namun jangan menyusahkan UMNO.

Menegaskan perkara itu, Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, parti Islam itu secara jelas tidak boleh berkempen untuk Bersatu di mana-mana kawasan yang bertembung dengan calon UMNO.

“Kita memang nak kerjasama dgn dia (Pas), dia dengan Bersatu tu masalah dia, Pas nak tarik diri sokong Bersatu tu pun masalah dia, tapi Pas dengan kita jangan berpecah.

“Mungkin ada formula yang dia bersama dengan Bersatu tetapi tak susahkan UMNO. Dimana UMNO bertanding, jangan pula Pas tolong Bersatu untuk bantai kita,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman pemangku jawatan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Prasarana di Ampang, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menjelaskan parti Islam itu tetap akan bekerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Tajuddin turut memberi contoh jika Bersatu bertanding di Parlimen Bukit Bintang, terserah kepada Pas jika ingin turun berkempen untuk parti itu.

Namun, jika UMNO bertembung dengan Bersatu di sesebuah kawasan pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti, Pas seharusnya membantu UMNO untuk berkempen bagi memenangkan calon mereka.

“Kalau Bersatu bertanding dekat Bukit Bintang, itu terpulang Pas ramai-ramai keluar berkempen untuk Bersatu.

“Tapi jika di Pasir Salak, kalau Bersatu bertanding, jangan sokong. Kalah sokong, kau siap,” katanya lagi.

UMNO sebelum ini menjelaskan yang parti itu akan bertanding sendiri dengan 120 kerusi Parlimen.

Namun, jika UMNO bekerjasama dengan Pas pada PRU nanti, parti itu mensasarkan bertanding sebanyak 96 kerusi. – UO

CATEGORIES

COMMENTS