Najib tak senang digelar kluster mahkamah

Najib tak senang digelar kluster mahkamah

Sering dilabel dan disindir sebagai “kluster mahkamah” Najib Razak hari ini menunjukkan rasa kurang senang dengan gelaran tersebut.

Kata bekas perdana menteri itu, istilah tersebut hanyalah gelaran bersifat propaganda pihak yang tidak senang dengannya serta pemimpin Umno yang sedang dibicarakan.

Merujuk pihak terbabit sebagai “sebelah sana” Najib bagaimanapun tidak mendedahkan dengan lebih lanjut siapakah yang dimaksudkannya.

Bagaimanapun selain sebahagian pembangkang Najib dan pemimpin lain yang didakwa atas pelbagai tuduhan jenayah dilihat tidak disenangi kalangan dalam kerajaan, seperti Bersatu dan sesetengah tokoh dalam Umno sendiri.

Menganggap gelaran “kluster mahkamah” berkenaan sebagai kurang tepat Najib kemudian menyarankan ia dijenamakan semula agar ia lebih menampakkan gambaran menyeluruh.

“Patut dijenamakan semula kepada ‘kluster tolak jawatan kerajaan’ sebab yang turut menolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 (juga) termasuk rakan-rakan yang tiada kes mahkamah seperti Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah yang menolak jawatan penasihat Petronas,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Turut menolak jawatan kerajaan itu, kata Najib, ialah Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang enggan menerima tawaran menjadi pengerusi Tenaga Nasional Bhd dan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki (tolak jawatan pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd.

“Turut menolak kerjasama dengan Bersatu termasuk Menteri Besar Perak, Menteri Besar Pahang serta hampir semua ketua perhubungan Umno negeri (kecuali Perlis dan Sabah) yang juga tiada kes mahkamah,” katanya.

Untuk rekod ketika hubungan dalaman kerajaan membabitkan Umno dan Bersatu terus tegang dan memburuk ada beberapa gelaran muncul.

Selain “kluster mahkamah” pergolakan itu juga melahirkan gelaran “kluster menteri” merujuk kepada ahli parlimen Umno yang dilantik menyertai kabinet dan didakwa keberatan memutuskan hubungan kerjasama dengan Bersatu, sekali gus memungkinkan mereka tersingkir daripada jawatan yang ada.

Selain Najib, turut sedang dibicarakan – dan dirujuk sebagai “kluster mahkamah” – ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan setiausaha agung parti itu Ahmad Maslan.

Tidak ketinggalan bekas ahli parlimen Johor Bahru yang pernah dilantik menjadi pengerusi Felda, Shahrir Samad.

Terdahulu Ahmad Zahid hari ini menegaskan “kluster mahkamah” boleh dianggap sebagai benteng pertahanan terakhir buat Umno.

Kenyataan dibuat Najib itu turut diiringi tangkap layar laporan Malaysiakini mengenai Ahmad Zahid.  – MK

CATEGORIES

COMMENTS