Zaman Pas memerintah, orang kafir boleh guna perkataan Allah

Zaman Pas memerintah, orang kafir boleh guna perkataan Allah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini memutuskan bahawa kerajaan telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah “Allah” pada tahun 1986 kepada masyarakat bukan Islam.

Justeru, mahkamah sama memutuskan seorang wanita Kristian yang berbangsa Melanau berhak menggunakan kalimah “Allah” untuk tujuan keagamaan dan pendidikan.

Hakim Nor Bee Ariffin hari ini membenarkan tindakan undang-undang oleh Jill Ireland dalam kemelut yang berlarutan hampir 13 tahun.

Pada 11 Mei 2008, CD berjudul ‘Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah’, ‘Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah’ dan ‘Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah’, telah dirampas daripada Jill Ireland sebaik dia tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

Wanita Melanau itu kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 untuk menuntut pemulangan CD yang dirampas itu serta bayaran gantirugi.

Mahkamah Rayuan pada 23 Jun 2015, mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya CD itu dipulangkan kepada Ireland.

Mahkamah juga memerintahkan bahawa pengisytiharan yang dipohon oleh Ireland mengenai penggunaan kalimah ‘Allah’ didengar semula.

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Tiga perkataan itu ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Ini susulan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Nor Bee Ariffin, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill.

Dalam permohonannya, Jill Ireland antara lain memohon perisytiharan bahawa adalah hak perlembagaannya untuk mengakses penerbitan Kristian dalam menjalankan haknya untuk mengamalkan agama dan hak untuk pendidikan, seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan arahan Kementerian Dalam Negeri pada 1986 yang melarang kalimah “Allah” dalam penerbitan Kristian sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah di sisi undang-undang.

Dalam penghakimannya, Nor Bee berkata arahan oleh Kementerian Dalam Negeri pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat perkataan itu menyalahi undang-undang dan tidak rasional.

“Penggunaan perkataan itu tidak akan mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

Nor Bee berkata perkataan itu juga boleh digunakan oleh masyarakat untuk tujuan pengajaran kerana telah digunakan lebih 400 tahun.

Semasa dihubungi, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, yang mewakili Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia, mengesahkan bahawa keempat-empat perkataan itu boleh digunakan oleh penganut Kristian untuk penerbitan agama mereka

“Bagaimanapun, penerbitan yang mengandungi keempat-empat perkataan itu perlu disertakan penafian bahawa ia ‘hanya untuk penganut Kristian’ dan juga lambang salib,” katanya.

Isu ini bermula 13 tahun lepas apabila Jill Ireland memulakan permohonan semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 supaya dikembalikan lapan CD (cakera padat) yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008, sebaik tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

CD berkenaan bertajuk “Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah”, “Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah” dan “Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah”.

Wanita itu memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar penyitaan CD tersebut serta memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah “Allah” dalam penerbitan Kristian.

Mahkamah Tinggi pada Julai 2014, memerintahkan CD itu dipulangkan kepada Jill Ireland, tetapi tidak mengeluarkan arahan berhubung pengisytiharan yang dimohon wanita itu mengenai isu perlembagaan.

Pada Jun 2015, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Kementerian Dalam Negeri memulangkan lapan CD dirampas milik wanita itu selepas menolak rayuan kementerian dan kerajaan Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan juga mengarahkan perkara itu didengar kembali di Mahkamah Tinggi berhubung isu perlembagaan.

Mahkamah Tinggi sepatutnya memberi penghakimannya pada 2018 tetapi ditangguhkan beberapa kali atas beberapa alasan. – MK

CATEGORIES

COMMENTS