Betul ke PAS jadi bisu bila dah berkuasa?

Betul ke PAS jadi bisu bila dah berkuasa?

BETUL KE PAS SENYAP APABILA SUDAH BERKUASA?

1. Perkara yang menjadi peluru penabur seteru PAS hari ini ialah kononnya PAS gagal memperjuangkan dasar dan matlamatnya melalui kerajaan yang disertainya. Hal ini turut disunguti oleh sebilangan ahli dan penyokong PAS yang mudah terpana oleh peluru musuh. Tulisan kali ini bukan bertujuan mempertahankan PAS tanpa asas. Tetapi cukup dengan satu analogi yang mudah difahami.

2. Sebelum itu, penulis mengingatkan rakyat khususnya umat Islam agar perlu adil dalam membuat penilaian. Ahli dan penyokong PAS jangan mudah termakan hujah-hujah pembangkang yang cuba memecahbelahkan keutuhan PAS. PAN dan PKR tak pernah ada tendensi untuk melaksanakan apa yang mereka bisingkan semasa berkuasa 22 bulan. Mereka hanya menyindir dan ingin menjolok agar ahli-ahli PAS latah, bangkit memberontak dan meninggalkan PAS.

3. Antara isu yang dibangkitkan ialah RUU355, kes keadilan untuk Adib, kilang arak dan lesen judi. Sejak PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan, rakyat tidak nampak apa-apa perkembangan positif dalam kes-kes tersebut. Sudah setahun lebih PAS berkuasa. Namun keadilan untuk arwah Adib belum nampak tanda-tanda pembunuh dibawa kembali ke mahkamah. RUU355 masih kabur jalan penyelesaian. Kilang arak masih tertegak di situ. Lesen dan premis judi tidak juga berkurang. Setidak-tidaknya tiada lagi premis yang dibenarkan beroperasi seperti di Kelantan dan Terengganu.

4. Apabila isu-isu tersebut kekal di takuk lama, maka ada ahli dan penyokong menjadi rimas. Suara Tuan Guru Presiden PAS yang banyak membangkitkan isu-isu tersebut sebelum ini diperli kononnya telah sirna ditelan ombak Laut China Selatan. Hendak tidak hendak rakyat mahu dengar sepatah kata dari Presiden tentang ‘usaha dan perjalanan’ isu-isu yang pernah diperjuangkan semasa PAS menjadi pembangkang. Informasi penting untuk menyedarkan mereka bahawa kita buat kerja. Membisu sinonim dengan tiada usaha. Sikap ini kontradik bagi massa di era teknologi maklumat.

5. Apa yang perlu difahami ialah Tuan Guru Haji Hadi ( TGHH ) dan para pemimpin PAS bukan tidak mengambil berat kes-kes tersebut. PAS bukan DAP; yang mengambil jalan semberono sebaik bertapak di Putrajaya. Perlu disedari, kerajaan PN sekarang bukanlah sebuah kerajaan yang stabil sejak mula terbentuknya lagi. Entah 3 bulan. Entah 6 bulan. Tempoh hayatnya tak dapat dijangkakan sama ada tumbang atau berakhir dengan pembubaran Parlimen.

6. Ditambah lagi, kes pandemik Covid19. Dari melandai kemudian memuncak semula mengatasi China negara asal merebaknya virus. Kerajaan banyak menghabiskan masa, tenaga dan peruntukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat. Gerak kerja pembangunan negara terbantut . Mobilisasi terhad. Kerajaan benar-benar berperang dengan Covid19. Di saat getir perang inilah, Anwar dan PH menyerang PN dari belakang.

7. Cuba rasionalisasikan fikiran. Berdasarkan dua situasi yang tidak kondusif itu, wajarkah PAS mendesak itu ini semata-mata untuk mengangkat agenda perjuangannya? Kerajaan bila-bila masa nak tumbang dek mainan orang yang gila dengan nombor. Nyawa rakyat beribu-ribu setiap hari diancam Covid19. Tiba-tiba kita nak bawa isu yang sebenarnya dibangkang mentah-mentah oleh golongan oportunis pada hari ini. Takkan kita lebih alim daripada TGHH dan alim ulama tentang feqah aulawiyat.

8. Tamsilannya seperti orang yang naik rumah baru. Tetiba anak sakit teruk. Kos rawatan ratus ribu perlu dicari. Kerja lain ditingalkan kerana apoinmen dengan doktor. Siang dan malam bergegas ke hospital bergilir-gilir menjaga anak. Dalam keadaan tersebut, wajarkah jiran sebelah bertanya bila nak beli sofa baru. Bila nak renovate master bedroom? Dulu kata nak tanam pokok berteduh. Rumah pun sudah diduduki; eloklah tanam sekarang. Gila ke apa jiran sebelah tu?

9. Bukan sofa yang perlu difikirkan saat anak sedang tenat. Bukan soal-soal kelengkapan dalam rumah perlu diutamakan. Duduklah atas kerusi buruk itu dulu. Anak bergelut dengan maut, takkan mak ayah nak sibuk fikir benda-benda macam itu? Yang perlu difikirkan sekarang ialah bagaimana nak selamatkan nyawa anak yang sakit. Yang kedua, macam mana nak jaga keselamatan daripada gangguan orang gila, jiran sebelah rumah itu. Bukankah itu lebih aula?

10. Yakinlah. PAS tidaklah berdiam diri. Takkan semuanya nak digegerkan macam jadi pembangkang dulu. Sudah pasti approach-nya berubah kerana kita sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan. Kalau dah boleh berkunjung ke kementerian, buat apa nak berdemonstrasi panjang-panjang? Benda boleh bincang dan dicadang solusi, buat apa terpekik terlolong macam kera di hutan. Jadi, benda yang boleh diuruskan secara teratur dan bijaksana, in sha Allah akan terlaksanalah juga mengikut marhalahnya.

#NekadBersamaIslam
#BerpolitikBiarMenguntungkanIslam
#MAMPUCentre

BayangDiAir,
6/3/2021

CATEGORIES

COMMENTS