Sukarelawan PUO buat projek khidmat masyarakat di Pondok Haji Shahruddin Al-Mandili

Sukarelawan PUO buat projek khidmat masyarakat di Pondok Haji Shahruddin Al-Mandili

Walaupun negara kini masih berdepan dengan penularan wabak Covid-19, pihak sukarelawan khidmat masyarakat PUO dengan kerjasama komuniti Pondok Haji Shahruddin Al-Mandili, Lenggong, Perak tetap bersemangat menabur bakti menyumbang tenaga membantu membina pondok baharu dan menaik taraf bangunan masjid yang uzur yang dijangka beroperasi pada Mei 2021.

Projek tersebut melibatkan 28 orang pensyarah dan 14 pelajar PUO dari pelbagai bidang. Projek ini telah memulakan kerja-kerja pada 1 Februari dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Mac 2021. Kerja-kerja ini termasuklah pembinaan empat buah pondok baharu untuk kediaman pelajar pondok dan naik taraf bangunan masjid sedia ada iaitu kerja-kerja menyediakan tapak konkrit, struktur besi bangunan, memasang kekuda dan bumbung, memasang pendawaian baru, membina tandas dan bilik air, memasang dinding, mengecat dan kekemasan bangunan.

Pengarah Politeknik Ungku Omar, Ts. Haji Mohd Fisal Haroon berkata melalui program ini PUO dapat berkongsi kepakaran dan ilmu kejuruteraan bersama komuniti setempat dalam meringankan beban mereka. Menurutnya sebanyak RM40,000 diperuntukkan untuk kerja-kerja pembinaan bangunan pondok dan naik taraf masjid di mana kesemua kos ini ditanggung sepenuhnya oleh pihak Pondok Haji Shahruddin.

Tambah beliau lagi pihak PUO sangat berbesar hati kerana dapat bekerjasama membantu masyarakat melalui aspek teknikal, ilmu, pengalaman dan nasihat sepanjang projek dilaksanakan.

“Alhamdulillah dengan pengembelingan tenaga pelajar dan pensyarah PUO serta kerjasama komuniti setempat semua kerja dilaksanakan mengikut perancangan. Mereka dengan gigih membantu menyiapkan pondok dan masjid dengan kesungguhan serta menunjukkan kemahiran yang tinggi”.

Kakitangan PUO dan komuniti pondok Haji Shahruddin sedang menyediakan struktuk utama bangunan pondok untuk penginapan pelajar.

Salah seorang pensyarah PUO sedang melakukan pemotongan besi untuk membina struktur bangunan.

Dr. Supa’at [email protected] (tiga dari kiri), Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PUO menyampaikan hasil sumbangan kakitangan Politeknik Ungku Omar kepada pihak pondok.

Kerjasama yang ditunjukkan oleh kakitangan PUO dan komuniti Pondok Haji Shahrudddin ketika proses mendirikan struktur bangunan.

Aspek keselamatan tetap diutamakan dengan pemakaian kelengkapan peralatan keselamatan diri yang bersesuaian ketika menjalankan kerja-kerja.

Proses menyapu anti karat pada struktuk besi bangunan agar tahan lama.

Dua buah struktur bangunan pondok telah siap didirikan.

CATEGORIES

COMMENTS