Pas kata masih komited perjuangkan RUU355

Pas kata masih komited perjuangkan RUU355

PAS masih lagi tidak sunyi daripada pelbagai tuduhan yang dilemparkan oleh musuh politiknya lebih lagi kini menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dituduh telah lari daripada dasar perjuangan apabila dikatakan parti itu kini sudah senyap berhubung Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, atau RUU355 yang diperjuangkan sebelum ini.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata parti itu tidak pernah lari daripada dasar perjuangan parti, malah sentiasa konsisten dalam memperjuangkan Islam di negara ini.

Katanya, PAS masih lagi komited memperjuangkan RUU355 supaya ia dapat direalisasikan.

“Isu RUU355 bukan isu PAS, ia isu umat Islam. PAS hanyalah berusaha untuk ke arah mewujudkan dan memperjuangkan perkara tersebut. Ia bukan soal untuk dipolitikkan.

“Selama 22 bulan PH memerintah, apa yang mereka telah buat selama ini? Sekurang-kurangnya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Marzuk Shaary telah menjawab pada 26 Nov 2020 terhadap soalan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berhubung perkara ini di Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Menurutnya, berdasarkan jawapan yang diberikan difahami bahawa kerajaan telah pun membuat kerangka bagi RUU355 ini.

Jelas Idris, bukan RUU355 sahaja yang akan dilaksanakan, malahan hal berkaitan untuk mendaulatkan syariat Islam yang sesuai dengan peruntukan Perlembagaan turut akan dilakukan.

Beliau turut mempersoalkan kesungguhan pihak PH mendesak PAS untuk melaksanakan RUU355 akah telah mendapat kebenaran daripada DAP yang menjadi tonggak utama PH.

“Kita nak tanya mereka yang sibuk sangat mendesak PAS buat RUU355, dah minta kebenaran dengan DAP ke? DAP kan tonggak PH,” ujarnya.

“Bagi PAS, kita sentiasa konsisten memperjuangkan RUU355, tetap tegakkan hal ini kerana ini yang kita perjuangkan kita berpolitik untuk membawa bekal mati bukan bekal hidup,” jelasnya. – HD

CATEGORIES

COMMENTS