Pelajar lari tahfiz, takut kena marah tak hafaz Al-Quran

Pelajar lari tahfiz, takut kena marah tak hafaz Al-Quran

Takut dimarahi Ustaz kerana tidak dapat melakukan hafazan al-Quran, tiga pelajar lelaki sebuah pusat maahad tahfiz di Pokok Asam, Jalan Pinang Tunggal, Sungai Petani bertindak melarikan diri dari asrama awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ketiga-tiga pelajar lelaki berusia 12, 13 dan 16 tahun itu bagaimanapun ditemui semula di rumah rakan mereka di Alor Setar, pada Ahad malam.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan dari warden asrama pusat tahfiz berkenaan selepas pemeriksaan mendapati tiga pelajar terbabit tiada di asrama itu pada jam 4.45 pagi Ahad.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pada kamera rakaman litar tertutup (CCTV) pusat tahfiz itu mendapati, mereka dipercayai keluar dari asrama pada jam 4.30 pagi.

“Kerana bimbang akan keselamatan tiga pelajar berkenaan, warden asrama terbabit membuat laporan polis sejurus selepas itu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Adzli berkata, hasil siasatan mendapati, warden asrama itu berkhidmat di pusat tahfiz berkenaan sejak September tahun lalu sehingga sekarang.

Beliau berkata, pusat maahad tahfiz itu ditubuhkan pada Januari 2019 dan beroperasi sehingga kini.

“Pusat ini mempunyai 28 pelajar lelaki dan hasil semakan mendapati pusat maahad tahfiz itu memiliki lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).

“Namun hasil siasatan mendapati ketiga-tiga pelajar itu dipercayai pergi ke rumah salah seorang pelajar di Alor Setar,” katanya.

Berikutan itu, ketiga-tiga pelajar yang berasal dari Alor Setar, Kuala Nerang dan Sungai Lalang, itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda hari ini untuk dirakam percakapan.

Katanya, hasil rakaman percakapan dapati punca ketiga-tiga pelajar melarikan diri dari asrama kerana mereka tidak boleh membuat hafazan Al-Quran.

“Tiada kejadian penderaan atau buli terhadap mereka dan tiga pelajar itu belajar di pusat maahad tahfiz berkenaan sejak setahun lalu.

“Mereka bertiga tidak minat belajar di pusat maahad tahfiz berkenaan dan ingin bertukar ke pusat maahad tahfiz yang lain,” katanya.
Adzli berkata, tiada sebarang kes jenayah berlaku terhadap mereka dan kea dianggap selesai. – AA

CATEGORIES

COMMENTS