Polis buka kertas siasatan kekecohan Konvensyen DAP Perak

Polis buka kertas siasatan kekecohan Konvensyen DAP Perak

Polis mengesahkan tidak menerima sebarang permohonan permit bagi penganjuran Konvensyen Biasa DAP Perak ke-19 di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata pihaknya mengakui penganjuran program terbabit dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan kapasiti kehadiran tidak melebihi 50 peratus daripada keluasan dewan.

“Konvensyen itu adalah acara tertutup dan hanya membabitkan ahli parti itu saja. Jadi, ia tidak salah diadakan walaupun tanpa permit.

“Malah, pemantauan polis mendapati jumlah kehadiran dan kapasiti dewan memenuhi SOP PKPB,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

A Asmadi berkata, pihaknya turut mengesahkan berlaku kekecohan membabitkan segelintir perwakilan di konvensyen itu seperti dilaporkan media semalam, namun ia hanya pertengkaran mulut dan keadaan berjaya dikawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya membuka siasatan berdasarkan laporan polis diterima dari Balai Polis Sungai Senam berkaitan kesalahan dari sudut pelanggaran SOP PKPB ketika kekecohan berlaku.

Semalam, media melaporkan berlaku sedikit kekecohan ketika konvensyen dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan itu berlangsung apabila wujud dakwaan pengundi hantu bagi memilih Jawatankuasa DAP Negeri.

Seorang perwakilan yang terbabit dalam kekecohan itu mendakwa ia disebabkan tempoh mendaftar pengundian dilanjutkan melebihi masa sepatutnya apabila daftar pemilih yang sepatutnya tamat pada jam 10 pagi dilanjutkan sehingga jam 12 tengah hari.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/03/796224/polis-tak-terima-permohonan-permit-konvensyen-dap-perak

CATEGORIES

COMMENTS