Sebarang rundingan kerusi pilihanraya tidak boleh dilontar secara terbuka, akan diputus dalam mesyuarat

Sebarang rundingan kerusi pilihanraya tidak boleh dilontar secara terbuka, akan diputus dalam mesyuarat

Parti Amanah Negara (Amanah) Perak dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak akan berbincang mengenai permintaan DAP Perak untuk menambah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, perkara itu harus dilakukan secara teliti sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Menurutnya, sebarang keputusan tidak boleh hanya melibatkan satu pihak tetapi harus mengambil kira semangat setiakawan di dalam Pakatan Harapan (PH).

“Mana-mana pimpinan parti berhak menyatakan hasrat mereka, namun sudah tentu perkara ini akan diteliti semula bersama semua parti komponen PH sebelum dimuktamadkan.

“Kita akan lebih berhemah dalam soal pembahagian kerusi ini terutama melibatkan kekosongan yang ditinggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ucapan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming bahawa parti itu menyasarkan lapan kerusi Parlimen dan 20 kerusi DUN untuk ditandingi pada PRU15.

Perkara itu disuarakan ketika Konvensyen Biasa DAP Perak ke-19 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini pada Ahad.

Sementara itu menurut Farhash, bagi pihak PKR Perak, pendekatan yang akan digunakan dalam menentukan kerusi pada PRU15 sedikit berbeza.

Katanya, tumpuan akan diberikan kepada kerusi melibatkan cabang-cabang yang mempunyai mempunyai akar umbi proaktif.

Beliau berkata, tiada guna untuk bertanding banyak kerusi jika hanya sekadar mahu menunjukkan kononnya parti kuat.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, sebarang permintaan atau rundingan mengenai pertambahan kerusi pilihan raya tidak boleh dilontarkan secara terbuka begitu sahaja.

“Sebarang keputusan mengenai pembahagian kerusi mengambil kira pelbagai faktor dan kesan kepada PH itu sendiri. Saya berpandangan sebarang lontaran pandangan mengenai perkara itu perlu dibuat secara berhati-hati.

“Jadi kita kena lihat dan bincang betul-betul sebelum buat keputusan. Rundingan mengenai kerusi ini akan ambil masa, tak mungkin selesai sehari,” katanya.

Asmuni dalam pada itu mengesahkan bahawa Amanah Perak dan PKR Perak akan bertemu bagi membincangkan mengenai pembahagian kerusi pada 18 Mac depan yang dijadualkan berlangsung di Wisma Amanah Perak, di sini. – SH

CATEGORIES

COMMENTS