Gandingan Rafizi, Ezam mampu hancurkan pengkhianat

Gandingan Rafizi, Ezam mampu hancurkan pengkhianat

Kedua-dua tokoh ini dikenali kerana Anwar Ibrahim. Tiada siapa boleh menafikan fakta ini. Jika ada yang mengatakan inilah sosok tubuh yang digeruni oleh musuh selepas Anwar, jawapan saya adalah tepat sekali.

Ezam pahlawan dizamannya. Rafizi adalah hero dieranya. Perjalanan sepanjang perjuangan mereka penuh ranjau dan duri. Ezam mengepalai Pemuda Keadilan di awal reformasi manakala Rafizi meneruskan kesinambungan perjuangan Ezam apabila Ezam meninggalkan bosnya Anwar Ibrahim dan menjadi seteru di pentas politik suatu ketika.

Rafizi telah menyumbangkan begitu banyak jasanya kepada parti sehinggakan beliau terlalai tentang kenikmatan berumahtangga. Banyak masanya dihabiskan bagi menjelajah ke pelusuk tanahair bagi membawa mesej kepada rakyat betapa kerajaan Umno/Bn ketika itu wajib ditumbangkan.

Ezam menyertai Umno, kemudiannya dilantik sebagai Senator dan kemucaknya menjadi orang penting di Kementerian Kewangan sebagai Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan, betul-betul bekerja di sebelah Najib, PM dan Menteri Kewangan ketika itu. Jika mahu hidup senang lenang, tempat ini amat sesuai untuk Ezam. Bayangkan jika Zahid Md Arip hanya menjadi pegawai kepada Pengerusi Felda Isa Samad pun boleh berurusan dengan duit tunai di dalam beg, ini kan pula berada di pejabat PM dan Menteri Kewangan. Bukankah di situ lubuk duit?

Ezam tidak memilih jalan itu. Apabila Ezam menyedari ada sesuatu yang tidak kena di Pejabat PM dan Menteri Kewangan ketika itu, beliau mengundurkan diri dan mula bercakap tentang isu Skandal 1MDB. Tidak tahan melihat kerosakan yang berlaku, Ezam dengan berani menyaman PM, Najib Razak, orang yang melantik beliau bekerja di Kementerian Kewangan. Jangan lupa, Ezam melawan Najib ketika Najib sedang berkuasa bukannya setelah Najib jatuh. Sebelum itu, beliau masih ada berbaki setahun dua lagi kontrak untuk terus menikmati gaji yang tidak kurang besarnya dengan menteri di Kementerian Kewangan, namun Ezam meletakkan jawatan bukan dipecat seperti Muhyiddin.

Usaha Rafizi yang gigih tanpa mengenal penat lelah, berhabisan wang ringgit di dalam simpanannya, memerah otak dan pemikirannya dengan mengatur berbagai strategi melalui INVOKE, akhirnya membuahkan hasil. Namanya harum sebagai wira rakyat yang telah membawa kemenangan PH pada PRU14 yang lalu. Maaf, bukan kerana Mahathir. PH menjadi kerajaan dan Rafizi bukan lagi Wakil Rakyat jauh sekali sebagai menteri selepas kemenangan itu.

Selepas kemenangan PH, Rafizi mula fokus untuk membetulkan parti dari kerosakan yang dilakukan oleh kumpulan ‘kartel’. Beliau mencabar bapak kartel iaitu Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden Keadilan. Azmin ketika itu dipelihara oleh PM, Mahathir yang telah melantiknya sebagai Menteri Ekonomi meskipun nama Azmin bukan pilihan parti untuk jawatan menteri kanan itu. Pengaruh di dalam kerajaan sebagai menteri ekonomi dan kekuatan wang ringgit yang ada pada Azmin, ditambah pula ramai ahli parti yang tidak terfikir agenda Azmin, maka Azmin menang dengan begitu tipis sekali. Apabila tewas di dalam sahanya untuk menghapuskan kartel di dalam parti, Rafizi akhirnya mengambil keputusan untuk berehat bersama keluarga. Mungkin beliau mahu memberi peluang kepada tenaga-tenaga muda yang lain untuk mempamerkan kebolehan masing-masing di dalam parti. Mungkin juga beliau kecewa kerana kartel terus bermaharajalela di dalam parti.

Apabila Rafizi menyepikan diri dan kartel semakin galak di dalam parti dan kerajaan ditambah pula dengan sikap pecah dan perintah Mahathir sebagai PM, maka Ezam terpaksa kembali memakai tanjak dan keris hulubalang yang begitu lama beliau simpan. Memang ketika itu tiada sesiapa pun yang bergerak untuk menyedarkan kita tentang agenda Mahathir dan kartel di dalam kerajaan. Semua pakat menanti giliran Anwar untuk menggantikan Mahathir seperti yang dijanjikan. Ezam telah dapat menghidunya apabila Mahathir bersama pimpinan Umno dan Pas berada di dalam program Maruah Melayu yang meminggirkan Anwar.

Inilah mulanya Ezam menyusun langkah mengembalikan semula Gerak yang diasaskan pada tahun 1998 oleh Almarhum Ustaz Fadzil Nor, Presiden Pas waktu itu. Maka, Gerak98 ditubuhkan oleh Ezam dan beliau mula bercakap tentang muslihat Mahathir dan kartel. Pendedahan demi pendedahan dibuat oleh Ezam di sepanjang jelajah Gerak98 di seluruh negeri sehinggalah berlakunya ‘Langkah Sheraton’ yang menjadi sejarah pengkhianat terbesar yang pertama di dalam negara ini di mana kerajaan mandat rakyat telah dirampas.

Maka, benarlah kata Rafizi tentang ‘kartel’ yang sebelum ini tidak ramai yang percaya. Betullah kata Ezam tentang kediktatoran Mahathir akan menjahanamkan kerajaan PH. Tepatlah kata Ezam bahawa mustahil Mahathir mahu menerima Anwar sebagai penggantinya kerana diktator tidak pernah bersetuju dengan reformasi. Musuh seorang diktator adalah reformis. Sejarah mencatatkan kisah seorang PM telah berjaya menjatuhkan kerajaannya sendiri tanpa dipaksa, disuruh, didesak bahkan tanpa undian tidak percaya di Parlimen sekalipun. Betapa jahatnya Mahathir!!

Apakah kita bakal melihat kedua tokoh ini, Rafizi dan Ezam bergandingan untuk menebus kembali maruah rakyat yang telah dicabuli oleh pengkhianat sekarang? Jika kamu tidak suka Rafizi yang telah menyepikan diri selama ini, apakah kamu telah ke hadapan menggantikannya? Jika kamu benci dengan Ezam yang kini aktif bergerak ke sana sini membawa nama Anwar Ibrahim dan reform, apakah kamu mampu melaksanakan seperti beliau? Apakah cukup hanya kita berharap Anwar akan jadi PM seperti mengharapkan bulan jatuh ke riba?

Saya selalu berdoa agar idola saya Rafizi akan kembali bersama kita. Saya selalu berdoa juga agar Ezam terus istiqomah di dalam perjuangannya membantu Anwar Ibrahim. Rafizi berundur dan berehat setelah tugasnya memenangkan PH selesai. Ezam pula muncul disaat Anwar ditekan dari luar dan dalam. Saya tidak akan bersama Ezam jika Ezam muncul ketika Anwar dipuncak kuasa. Saya yakin dengannya kerana beliau muncul ketika kita sedang sukar. Mahathir muncul dengan kita sewaktu kita diambang kemenangan, beliau masuk basuh kaki dan terus jadi PM dan beliau khianati kita ketika kita sedang berkuasa.

Saya cuma boleh berharap dan saya tahu tulisan saya ini tidak akan digemari oleh ramai orang termasuk pimpinan. Hari ini adalah hari ulangtahun saya, mudah-mudahan Allah tidak mengambil nyawa saya sebelum Anwar menjadi PM. Hadiah istimewa yang saya impikan hari ini adalah gandingan Rafizi – Ezam. Semoga dimakbulkan.

WFAUZDIN NS

CATEGORIES

COMMENTS