KOLUM | Batu, manusia dan berhala

KOLUM | Batu, manusia dan berhala

Batu megalit (megalith) ialah batu besar yang mempunyai kaitan dengan sistem kepercayaan dan kebudayaan masyarakat. Selain bentuknya yang unik, megalit bukan sahaja menjadi fenomana setempat tetapi ia bersifat global.

Ia juga terdapat di UK, Iran, Turki dan banyak negara lain.

Ia dipercayai merupakan kubur nenek moyang penduduk tempatan. Terdapat hampir 100 batu seperti itu di kawasan pusara purba di Melaka. Salah satu yang saya kunjungi dikenali sebagai Megalit Datuk Tua.

Batu megalit di situ berukuran setinggi hampir 2.5 meter manakala lebarnya kira-kira 0.3 meter.

Ia terletak di Kampung Cherana Putih, Taboh Naning di Alor Gajah, Melaka, kira-kira 4km dari susur keluar Simpang Ampat atau Alor Gajah yang menuju ke arah Tampin dan Rembau.

Ia terletak satu jalan ke makam Dol Said, pahlawan Naning yang menyanggah kuasa Inggeris.

Dol Said memang tidak ada kena-mengena dengan batu megalit yang menjadi mauduk utama tulisan ini. Ia cuma kebetulan berada di situ. Kebetulan adalah satu keadaan yang berlaku secara tidak sengaja.

Namun bukan semua kebetulan itu tidak membawa sebarang makna. Bagi sesetengah orang, dia memang pakar mengolah suatu kebetulan menjadi – kononnya – ‘fakta’ ialah orang politik. Mereka sering mencipta kebetulan-kebetulan agar dapat dilihat sentiasa berada di pihak yang benar.

Batu megalit sebenarnya juga terdapat di beberapa tempat lain seperti di Lembah Bernam, Pengkalan Kempas, Papar, Kota Belud, Kelabit Highland dan lain-lain lagi. Kajian tentang batu tersebut juga telah dibuat oleh Zuraini Majid, IHN Evans, HD Colling, Supian Sabtu dan lain-lain.

Salah satu mitos mengenai batu jenis itu ialah ia ‘hidup’. Batu itu dikatakan membesar dari semasa ke semasa. Papan kenyataan yang disediakan di tapak itu juga membantu menanamkan mitos mengarut berkenaan ke dalam pemikiran masyarakat.

Sesetengah ada cahaya

Secara geologikalnya, batu boleh membesar, mengecil atau berubah bentuk apabila berlaku pencairan seperti magma gunung berapi. Atau juga disebabkan proses luluhawa, gelinciran dan himpitan. Itu pun memakan masa ribuan tahun atau tempoh lebih panjang.

Istilah ‘batu hidup’ lebih kepada merujuk kepercayaan masyarakat yang memuja atau menjadikan ia sebagai objek spritual. Batu itu dipercayai mempunyai ‘roh’ dan dianggap mampu memberi bekas ke atas makhluk lain.

Nama-nama batu yang diberikan – seperti Datuk Tua, Datuk Nisan Tinggi, Datuk Serban Kuning dan sebagainya – menunjukkan wujudnya unsur-unsur pemujaan.

Sementara itu, ada beberapa contoh batu megalit yang diberikan nama atau gelaran oleh masyarakat setempat di Melaka. Misalnya Nenek Panjang, Nenek Limau, Nenek Timah, Datuk Bongsu, Dato Debo, Datuk Maharaja Lela dan sebagainya. Pemujaan dan unsur keramat sering juga dikaitkan dengan batu megalit.

Mengenai kepercayaan bahawa batu boleh mengeluarkan cahaya pada waktu malam, hal tersebut boleh huraikan secara saintifik mengikut ilmu geologi. Sesetengah mineral mempunyai keupayaan untuk mencerminkan cahayanya.

 

Proses pengeluaran cahaya itu dikenali sebagai pendarfluor. Mineral tertentu mempunyai keupayaan untuk menyerap sedikit cahaya untuk sementara waktu sebelum kemudian melepaskannya pada waktu yang tertentu.

Pendarfluor biasanya berlaku apabila kekotoran tertentu – yang dikenali sebagai pengaktif – hadir dalam mineral. Unsur-unsur nadir bumi seperti europium, terbium, dysprosium, dan yttrium juga diketahui menyumbang kepada fenomena pendarfluor.

Pendarfluor juga boleh disebabkan oleh kecacatan struktur kristal atau kekotoran organik.

Kekuatan dalam masyarakat

Penjelasan geoglogikal secara sendirinya akan mengurangkan pandangan yang sarat dengan mitos dan tahyul dalam masyarakat. Kedatangan Islam sedikit sebanyak menghakis unsur yang dibawa dari ajaran Buddha dan Hindu itu.

Salah satu perkara yang kurang diambil perhatian oleh masyarakat ialah kewujudan semangat gotong-royong daripada tradisi batu megalit. Berdasarkan saiz batu tersebut, proses menegakkan atau memindahkan objek tersebut memang melibatkan ramai pihak.

Gotong-royong dalam masyarakat Melayu atau di Nusantara merupakan satu konsep yang sangat unik dan dianggap sebagai salah satu sumber kekuatan masyarakat setempat. Hal ini pernah dinyatakan Prof Dr Kejoraningrat, mahaguru ilmu antropologi Indonesia.

Menurutnya, jika sesuatu masyarakat lebih mengutamakan kerja gotong-royong dan masih mempertahankan nilai-nilai tradisional dalam masyarakat, ia dengan sendirinya akan mewujudkan kekuatan dalam masyarakat.

Kiranya masyarakat purba Melayu sudah bergotong-royong membina monumen kepercayaan dan ia kekal wujud sejak ribuan tahun silam.

 

Kini, masyarakat Melayu moden memerlukan semangat bergotong-royong itulah untuk melawan serta menyingkirkan ahli politik yang korup dan yang menjadikan politik sebagai alat memunggah khazanah negara ke dalam serambi rumah sendiri.

Kita tidak boleh menjadikan ahli politik korup sebagai sembahan atau berhala yang mematikan pemikiran masyarakat. Selagi masyarakat terikat dengan rantaian kebodohan tersebut, seagi itulah berhala-berhala itu kekal berkuasa.

Dalam politik semasa tanah air, semangat bekerjasama mengeluarkan biaya dari poket sendiri nampaknya semakin kurang. Masing-masing cuba mendapat faedah peribadi daripada setiap sen yang disumbangkan.

Para kapitalis pula terus menternak ahli politik korup. Para birokrat kekal mengurus makenisme kerajaan untuk menekan suara rakyat dan mempermudah penyelewengan amanah masyarakat.

Ikatan setiakawan mencair dengan hangatnya bahang material dan kedudukan. Sudah merasa keistimewaan dalam kerajaan atau mempunyai kedudukan, maka ia merangsang nafsu untuk mendapat tempat yang lebih enak dan kerusi lebih empuk.

Rasa keakraban sesama anggota parti pula mula hilang. Curiga-mencurigai. Khainat-mengkhianati. Gerakan parti tidak lagi dipandu oleh konvensyen atau keputusan bersama tetapi lebih bergantung kepada percaturan segelintir pemimpin tertentu ataupun oligarki dalam parti.

Apatah lagi semangat jihad atau perjuangan yang diagung-agungkan hanya tinggal di dalam kitab dan kenangan sahaja. Sihir kuasa politik itu mematikan idealisme perjuangan yang murni.

Masyarakat yang terpaku dengan unsur tahayul, khurafat yang bersalut dengan unsur keagamaan akan kehilangan jati diri, kreativiti dan integriti. Masyarakat yang bergantung kepada berhala – sama ada berupa individu, institusi atau apa jua entiti – akan hilang keupayaan membina tamadun yang dicita-cita dalam masyarakat madani.

Batu megalit memang memperingatkan hal-hal ini dalam kotak pemikiran saya. Saudara bagaimana? – MK


MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik Melaka5Minit iaitu sebuah rancangan pendokumentasian khazanah serta warisan sejarah Nusantara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Perak Insights.

CATEGORIES

COMMENTS