Gagal selesaikan rundingan kerusi dengan PAS, Bersatu Kelantan serah pada pusat untuk putuskan

Gagal selesaikan rundingan kerusi dengan PAS, Bersatu Kelantan serah pada pusat untuk putuskan

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada pucuk tertinggi bagi menentukan jumlah agihan kerusi kepada parti itu di negeri ini untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, keputusan itu selari dengan ketetapan yang telah dibuat antara pucuk pimpinan tertinggi antara Bersatu dengan Pas berkaitan perkara tersebut.

“Soal rundingan (agihan kerusi PRU-15) atau agihan kita (Bersatu Kelantan) serah kepada pusat untuk membuat keputusan.

“Kita ada kemukakan cadangan, tetapi semua ini masih lagi sulit termasuklah jumlah kerusi (yang dipohon Bersatu),” katanya ketika diminta mengulas isu agihan kerusi PRU15 antara Bersatu dengan Pas di Kelantan pada Sabtu.

Sebelum itu, Kamarudin yang merupakan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) merasmikan Hari Ladang Peringkat Jajahan Pasir Puteh.

Menurutnya, cadangan itu tidak akan menjejaskan kekuatan dan kedudukan Pas di Kelantan.

Beliau berkata, kemasukan Bersatu itu akan memperkukuhkan lagi kedudukan Perikatan Nasional (PN) di Kelantan.

Katanya, Bersatu dan Pas sudah menjadi rakan kerjasama yang cukup strategik menerusi PN.

“Isu tersebut tidak akan melemahkan kerjasama antara kedua-dua parti di Kelantan.

“Hubungan baik antara Bersatu dan Pas ini bukan sahaja terjalin di Kelantan, malah ia dapat dilihat di Terengganu serta Kedah,” katanya. – SH

CATEGORIES

COMMENTS