Kantoi! Pegawai polis jual dadah yang dirampas

Kantoi! Pegawai polis jual dadah yang dirampas

Seorang pegawai polis ditahan kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket dadah berikutan menjual semula dadah yang dirampas kepada sindiket berkenaan, malam Selasa lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pegawai polis berpangkat Inspektor yang berusia 31 tahun itu ditahan jam 7 malam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor ketika hadir bagi memberi keterangan.

Rampasan dadah yang dijual semula kepada sindiket berkenaan dipercayai untuk pasaran negara jiran.

“Siasatan lanjut mendedahkan suspek itu yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU), menjual semula dadah yang dirampas polis kepada sindiket dadah bagi tujuan peribadi.

“Dalam kes ini, polis menyita sebuah kereta Perodua Alza dan wang tunai RM1,200. Suspek ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya Langkah Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985, dengan suspek akan ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) selama dua tahun dan perintah sekatan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ayob berkata, pihaknya masih menyiasat jumlah dan nilai dadah yang dijual semula pegawai berkenaan.

Dalam kes berasingan, Ayob Khan berkata, dua anggota polis ditahan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Muar, kerana melakukan pemerasan, Khamis lalu.

Dua suspek itu masing-masing berpangkat Sub Inspektor dan Koperal dari IPD Muar dan berusia 59 dan 35 tahun.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek melakukan pemerasan ke atas seorang individu di Parit Jawa yang ditahan mereka kerana memiliki dadah jenis syabu.

“Pemerasan itu dibuat bagi melindungi kegiatan dadah individu yang ditahan dengan kedua-dua suspek meminta wang sebanyak RM3,000 sebagai wang perlindungan.

“Hasil siasatan mendapati suspek sudah menerima wang sebanyak RM2,000 dan tambahan RM800 secara tunai,” katanya.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, kedua-dua suspek direman dua hari pada Jumaat lalu dan dilepaskan atas jaminan polis. Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan. – BH

CATEGORIES

COMMENTS