‘Peringatan keras’ Korea Utara: Polis sedia hadapi sebarang kemungkinan, kata KPN

‘Peringatan keras’ Korea Utara: Polis sedia hadapi sebarang kemungkinan, kata KPN

Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh berlaku susulan tindakan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, semuanya berjalan lancar dan selamat, dan keputusan tersebut adalah keputusan Korea Utara sendiri.

“Semua dah berjalan lancar dan selamat, keputusan itu adalah keputusan kerajaan Korea Utara sendiri dan kalau di bawah Konvensyen (Vienna), memang apabila putus sahaja hubungan diplomat itu maknanya keseluruhan diplomatik staf dikeluarkan daripada negara ini… bukan kehendak kita.

“Kalau orang tengah marah, macam tu lah perkataan yang akan keluar. Tetapi sekiranya dia berada dekat sini, kita mungkin akan mengambil tindakan. Tapi dia nak pergi, biarlah dia pergi. Macam-macam ugutan pun,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, pada Isnin.

Bagaimanapun, Abdul Hamid berkata, apa yang penting ialah pihak keselamatan tetap berjaga-jaga kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

“Sejarah mengatakan sedemikian… jadi pihak kami terpaksa bersiap sedia untuk menghadapi segala kemungkinan,” jelasnya.

Pada Ahad, Konsulat Kedutaan Korea Utara, Kim Yu Song memberi peringatan keras terhadap Malaysia berhubung tindakan kerajaan dalam isu melibatkan rakyat warganegara republik itu.

Dalam kenyataannya kepada media sebelum keluar meninggalkan kedutaan, Yu Song berkata, Malaysia akan menerima akibat daripada tindakan yang dilakukannya kerana insiden tersebut telah menjejaskan kedaulatan negaranya.

Petang semalam, kesemua 33 kakitangan serta keluarga Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur berlepas pulang ke Pyongyang.

Ia selepas Malaysia memberi tempoh 48 jam kepada pegawai dan kakitangan kedutaan itu untuk meninggalkan negara ini susulan keputusan Korea Utara yang bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Tindakan tersebut ekoran keputusan mahkamah yang mengarahkan seorang rakyat Korea Utara, Mun Chol Myong diekstradisi ke Amerika Syarikat, untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Keputusan drastik kerajaan Korea Utara pada Jumaat juga mengarahkan penutupan misi Kedutaan Malaysia di ibu kotanya, Pyongyang. – AA

CATEGORIES

COMMENTS