KOLUM | YM Raja Aziz Addruse, sisi pandang seorang peguam muda

KOLUM | YM Raja Aziz Addruse, sisi pandang seorang peguam muda

Saya tidak pernah berkesempatan bertemu dengan beliau dan melihat beliau beraksi di Mahkamah tetapi kisah mengenai kehebatan beliau sebagai seorang peguam selalu saya dengar.

YM Raja Aziz Addruse memang tidak asing lagi dalam dunia kepeguaman. Namanya banyak direkodkan di dalam journal undang-undang. Beliau banyak terlibat di dalam kes yang berprofil tinggi antaranya mewakili almarhum Tun Salleh Abbas yang dipecat dari kerusi Ketua Hakim Negara, kes liwat DS Anwar Ibrahim dan sebagainya.

Saya teruja mendengar pengalaman yang dikongsikan oleh peguam GK Ganesan di dalam video di bawah ketika beliau mengendalikan kes bersama dengan YM Raja Aziz Addruse. Disamping menceduk ilmu undang-undang dan skil advocacy, beliau juga belajar etika kepeguaman di depan hakim daripada gurunya itu.

Saya mengesahkan GK Ganesan memang mengamalkan apa yang gurunya ajarkan kepada beliau.

Saya pernah terlibat di dalam kes Petisyen Pilihanraya di mana GK Ganesan merupakan lead counsel di dalam kes itu. Kes tersebut didengar di Mahkamah Batu Gajah, Perak. Seingat saya, ada 5 peguam yang terlibat mewakili Pempetisyen di dalam kes itu. Saya merupakan yang termuda di kalangan peguam yang terlibat.

Semasa hari Perbicaraan, peguam Responden telah membangkitkan bantahan awal terhadap perlantikan barisan peguam Pempetisyen yang menurut mereka tidak mengikut prosedur yang betul.

Hakim Pilihanraya yang mendengar kes tersebut pada waktu itu bersetuju dengan bantahan awal dari pihak Responden dan memutuskan bahawa kami semua tidak mempunyai locus untuk mewakili Pempetisyen di dalam petisyen pilihanraya itu. Kami juga tidak dibenarkan untuk membuat hujahan balas terhadap bantahan awal pihak Responden itu kerana mengikut YA Hakim, ketiadaan locus itu bermaksud Pempetisyen tidak diwakili oleh sesiapa pun di dalam Petisyen tersebut.

Keputusan Hakim itu telah menyebabkan salah seorang daripada kami merasa tidak puas hati, lalu bangkit mempertikaikan keputusan tersebut dengan suara yang agak tinggi. Bukan dia saja, saya dan peguam Pempetisyen lain juga tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut. Mana tidaknya, awal-awal lagi kami dah kena “knocked out” atas alasan teknikal walhal persediaan untuk Bicara telah dibuat agak lama.

Berbeza dengan GK Ganesan. Beliau nampak lebih tenang. Melihat peguam itu bangun mempertikaikan keputusan Hakim, GK Ganesan segera mengarahkan peguam itu kembali duduk.

Setelah kes ditangguhkan, GK Ganesan bertemu dengan kami di luar kamar Mahkamah dan menasihatkan kami agar tidak “rude” dengan Hakim. Beliau sebut, apa jua keputusan yang diberikan, sekalipun kita tidak puas hati, kita mesti menerimanya dengan tenang dan merayu saja nanti jika kita tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Selepas melihat video di bawah, barulah saya tahu bahawa etika seperti itu beliau pelajari dari YM Raja Aziz Addruse yang beliau ingat sampai sekarang.

Al-fatihah.

#kitajagakita

Mohd Fitri Asmuni

CATEGORIES

COMMENTS