Mohd Kamaruzaman, Munirah johan Tilawah Al-Quran peringkat Perak tahun ini

Mohd Kamaruzaman, Munirah johan Tilawah Al-Quran peringkat Perak tahun ini

Mohd Kamaruzaman Daud dari daerah Kinta dan Munirah Razali (Manjung) masing-masing muncul johan qari dan qariah Tilawah al-Quran Peringkat Perak 2021 malam tadi.

Kedua-dua mereka menerima hadiah wang tunai RM10,000 berserta plak, hadiah iringan serta pakej menunaikan ibadah haji bernilai RM10,000.

Tempat kedua qari tilawah dimenangi Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan, manakala Mohamad Sahran Termizo di tempat ketiga.

Sementara itu, Tempat kedua dan ketiga qariah tilawah pula masing-masing dimenangi Norhazirah Nabila Muhamad Kamel dan Noor Suhaiza Chulan.

Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima wang tunai RM7,000 dan RM5,000 berserta plak dan hadiah iringan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang pada Majlis Penutup dan Penyampaian hadiah tilawah itu di Pusat Konvensyen Casuarina Meru di Ipoh pada Ahad.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berangkat ke majlis itu.

Turut berkenan berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Yang turut hadir, Exco Kerajaan Perak mewakili Menteri Besar, Datuk Shahrul Zaman Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Majlis yang berlangsung selama dua hari sejak Sabtu itu disertai lebih kurang 40 peserta yang terdiri daripada pelbagai kategori.

Sementara Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan hadiah kepada johan bagi kategori 1 hingga 10 juzuk kepada Ahmad Akhyar Alfadli Khairuddin dan Durrah Baharuddin; serta johan kategori 1 hingga 20 juzuk (Muhammad Adib Ahmad Rozaini dan Adilah Sulhi Ahmad Rozaini)

Johan hafazan kategori 1 sehingga 30 juzuk lelaki dan wanita tahun ini dimenangi Abdullah Muhammad Hanif dan Adibah Husni Ahmad Rozaini.

Mereka membawa pulang wang tunai RM10,000, pakej menunaikan haji bernilai RM10,000, plak, sijil dan hadiah iringan.

Pemenang hafazan kategori 1 sehingga 20 juzuk dan 1 sehingga 10 juzuk pula masing-masing membawa wang tunai RM6,000 dan RM4,000 beserta plak, sijil dan hadiah iringan.

Kesemua johan qari dan qariah tilawah serta hafazan akan mewakili negeri ke Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 13 hingga 18 Jun depan. – SP

CATEGORIES

COMMENTS