Saarani bagi bayangan Exco Perak macam pemain bola pro, musim depan akan ada yang pindah ke kelab lain

Saarani bagi bayangan Exco Perak macam pemain bola pro, musim depan akan ada yang pindah ke kelab lain

Barisan Exco kerajaan Perak menjalankan tugas secara profesional seperti sebuah pasukan bola sepak di saat ada sebahagian pemainnya tahun akan berpindah ke kelab lain musim depan, menurut Menteri Besar Saarani Mohamad.

Meskipun tidak menyatakan secara jelas, kenyataan Saarani dipercayai merujuk kepada hubungan semasa antara Umno, PAS dan Bersatu.

Katanya kerajaan Perak kini ditunjangi menteri besar dan lima Exco daripada Umno, tiga Exco Bersatu dan dua Exco PAS.

“Kita masih lagi hadir mesyuarat Exco yang sama, membuat keputusan secara bersama dan melaksanakan keputusan yang ditetapkan itu.

“Kita masih lagi profesional, umpama pemain bola sepak yang mana dia sudah tahu bahawa dia akan berpindah ke pasukan lain tapi untuk pasukan itu, dia masih lagi bermain sebab dia masih lagi pemain pasukan itu,” katanya seperti dipetik portal Umno Online.

Hubungan Umno dengan Bersatu dan PAS kini retak selepas Perhimpunan Agung Umno 2020 akhir bulan lalu memuktamadkan keputusan memutuskan hubungan Bersatu pada PRU15 nanti.

PAS pula berpendirian untuk terus kekal kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) secara rasmi.

Dalam pada itu, Saarani yang juga Adun Kota Tampan berkata keutamaan ketika ini adalah mengekalkan kerajaan negeri sedia ada yang dibentuk demi kestabilan pentadbiran.

“Jadi sama juga dengan situasi ini kita tidak tahu apa yang berlaku selepas PRU15 tapi buat masa ini kita telah diberi mandat untuk menjadi kerajaan.

“Saya ingatkan pada diri saya dan pada barisan Exco bahawa kita ada tanggungjawab kepada rakyat…Dengan angkat sumpah yang kita telah buat di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah maka kita tidak boleh mengabaikan rakyat,” katanya lagi. – MK

CATEGORIES

COMMENTS