Tidak mahu dipenjara, Najib bagi 307 alasan di mahkamah

Tidak mahu dipenjara, Najib bagi 307 alasan di mahkamah

Mahkamah Rayuan pada Isnin mendengar rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sabitan dan hukuman penjara ke atas beliau berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta tepat jam 9 pagi Isnin.

Bagaimanapun prosiding tertangguh seketika dan hanya bermula 40 minit kemudian.

Prosiding kali ini bagi mendengar rayuan bekas Perdana Menteri itu untuk mengetepikan sabitannya terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram serta menyalahgunakan kedudukan melibatkan wang milik SRC.

Mahkamah sebelum ini menetapkan prosiding berjalan selama empat hari bermula Isnin hingga Khamis, iaitu pada 5 hingga 8; 12 hingga 15 dan 19 hingga 22 April.

Seawal jam 8 pagi, seramai 21 petugas media tempatan dan antarabangsa termasuk jurukamera memenuhi pekarangan Mahkamah Istana Kehakiman di sini.

Bagaimanapun hanya wartawan yang membuat pendaftaran menggunakan kad penerangan media dibenarkan mengikuti prosiding menerusi tayangan videolink di bilik persidangan sehingga jam 4.30 petang.

Panel hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera; pasukan pendakwaan serta pembelaan, Najib mengikuti prosiding di Mahkamah Rayuan 3.

Najib sebelum ini mengemukakan 307 alasan dalam petisyen rayuannya, mengapa beliau perlu dibebaskan daripada pertuduhan terbabit; antaranya ialah beliau tidak mendapat perbicaraan yang adil dan saksama.

Pada 28 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhi Najib hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, pecah amanah dan pengubahan wang haram, serta 12 tahun penjara dan denda RM210 juta atau lima tahun penjara bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun berikutan hakim memerintahkan kesemua hukuman tersebut berjalan serentak.

Najib, 67, pada masa ini bebas dengan ikat jamin RM2 juta serta dua penjamin sementara menunggu kes rayuan itu selesai. – SH

CATEGORIES

COMMENTS