Walaupun mengakui kemungkinan berlaku sedikit perpecahan, tetapi mereka yakin, dalam usia lebih 75 tahun, ahli-ahli UMNO sudah cukup matang untuk mengharungi sepak terajang politik.
Bagaimanapun, seperti kelaziman sebelum ini dan mengambil kira situasi semasa, mereka sependapat bahawa adalah lebih baik agar pemilihan parti diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ini kerana pemilihan parti dibimbangi akan mengganggu gugat persiapan yang telah dibuat, sekiranya berlaku bertukaran pemimpin di peringkat akar umbi.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Padang Rengas, Mohd Ariff Abdul Majid berkata, kebiasaannya memang berlaku sedikit perpecahan, tetapi mereka akan bersatu kembalilah.
“Umum tahu sebagai parti terbesar untuk Melayu Islam, sudah tentu ada pihak yang mengambil kesempatan untuk memecah belahkan UMNO.
“Mereka hanya menunggu masa dan saya yakin akan ada orang yang akan memberikan tawaran atau menghasut mereka yang kalah dan kecewa untuk melompat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Bagi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lenggong, Mohamad Hamidi Baharuddin, sekiranya berlaku pemilihan parti ketika ini, ia tidak memberi jaminan akan memberi kesan yang lebih baik.
“Sekiranya berlaku pemilihan, ia akan berlaku satu penstrukturan yang baru, ideologi yang baru, hala tuju yang baru. Adakah perkara-perkara ini sempat untuk kita laksanakan sekiranya selepas pemilihan itu berlakunya PRU.
“Sekiranya berlaku pemilihan, sekiranya berlaku perubahan kepimpinan di peringkat akar umbi, ia sedikit sebanyak boleh berlaku sedikit kelam kabut di peringkat jentera di peringkat akar umbi,” ujarnya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk, Mohd Rizan Razali pula berkata, sebelum atau selepas PRU, pemilihan parti itu tidak akan memberi kesan yang besar kerana ahli dan pemimpin UMNO, telahpun matang dan mampu untuk membawa satu perubahan.
“Cuma berkenaan dengan pemilihan parti, ketetapan telahpun dibuat untuk menyerahkan segala keputusan tersebut kepada Majlis Kerja Tertinggi dan juga Presiden untuk menentukan bila akan diadakan,” katanya.
Baru-baru beberapa pemimpin UMNO mendesak agar pemilihan parti itu diadakan segera bagi mengelakkan kemelut yang berlaku, termasuk hubungan dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). – SP
