Kecoh! Tular borang rentas negeri kosong beserta cop balai, buatkan netizen berang

Kecoh! Tular borang rentas negeri kosong beserta cop balai, buatkan netizen berang

Polis membuka kertas siasatan berhubung isu penyalahgunaan borang rentas negeri yang dipercayai dikeluarkan oleh Balai Polis Chukai, Kemaman, Terengganu selepas beberapa keping gambar menjadi tular di laman sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati berlaku pemalsuan tanda tangan milik ketua balai berkenaan iaitu Inspektor Mohamad Ramizan Ramli.

“Malam tadi tular di media sosial satu borang rentas negeri kosong milik Balai Polis Chukai bertanda tangan menerusi sebuah posting ‘dapat info SOP terbaru ialah approve dulu baru isi form‘.

“Borang rentas negeri tersebut telah diberikan kepada seorang wanita untuk merentas negeri ke Kuala Lumpur dengan tujuan menghadiri temuduga mendapatkan pekerjaan yang dijadualkan hari ini,” katanya menerusi satu kenyataan media yang dimuat di laman Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman lewat malam tadi.

Menurut Hanyan, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan dokumen dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Lewat petang semalam kecoh di laman Twitter apabila seorang pengguna akaun berkongsi sekeping gambar borang rentas negeri berserta tanda tangan dan cop sebuah balai polis namun ruangan butiran diri pemohon masih belum diisi.

Ciapan tersebut diulang ciap sehingga 9,000 ribu kali dengan rata-rata warganet mempersoalkan tindakan pemohon berkenaan yang didakwa tidak mengikuti saluran yang betul.

Selain itu, terdapat sekeping lagi gambar tular lain yang mendakwa surat rentas negeri dengan cop balai berkenaan sudah menjadi milik beberapa orang pemohon.

Menerusi ruangan balas di ciapan tersebut, kebanyakan warganet berang dan kecewa dengan menyatakan tidak mustahil permohonan merentas negeri selepas ini akan semakin diperketatkan gara-gara tindakan sesetengah pihak. – MG

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (1)
Disqus ( )