Khairul Shahril kata Perak FC akan diswastakan

Khairul Shahril kata Perak FC akan diswastakan

Terkesan dengan masalah tunggakan gaji bola sepak, kerajaan negeri Perak menawarkan mana-mana pihak yang berminat untuk membantu Perak FC.

Selain menjadi penaja utama, pihak yang berminat juga ditawarkan untuk membeli saham Perak FC, syarikat yang menguruskan pasukan The Bos Gaurus.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, usaha sentiasa dibuat bagi menswastakan sepenuhnya Perak FC.

“Setakat ini kita tida dapat kenalpasti pihak yang boleh menguruskan Perak FC secara total betul-betul, secara swasta betul-betul.

“Yang datang untuk hantar `proposal’ kepada pihak kerajaan negeri yang kita lihat sebenarnya kadang-kadang kita sendiri boleh lakukan.

“Maksudnya buat cadangan, kerajaan negeri beri peluang, baru mereka melabur. Jadi yang ini pada saya banyak pihak boleh buat begitu. Maksudnya kalau boleh kita mahu yang `genuine’ betul,” katanya.

Beliau ditemui selepas taklimat pelaksanaan penambahbaikan pembangunan infrastruktur telekomunikasi negeri Perak di sini, hari ini.

Pada Rabu, Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, peminat bola sepak negeri itu tidak sewajarnya menuding jari dan meletakkan 100 peratus kesalahan kepada kerajaan negeri, susulan kegagalan Perak FC membayar gaji barisan pemainnya selama dua bulan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai rungutan dan isu tersebut, di samping bersimpati dengan nasib yang menimpa mereka.

Khairul shahril berkata, kerajaan negeri berhati-hati untuk memilih pelabur kerana tidak mahu tersalah pilih yang akhirnya menimbulkan masalah lain di masa hadapan.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Perak FC berkata, pihaknya telah membayar tunggakan sebulan gaji untuk Februari semalam dan akan terus berusaha untuk menyelesaikan masalah itu secepat mungkin. – SP

CATEGORIES

COMMENTS