Panas! Ebit Liew bantu selesai masalah bola Perak?

Panas! Ebit Liew bantu selesai masalah bola Perak?

Selepas isu gaji tertunggak melibatkan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) hangat diperbincangkan termasuk di media sosial, para netizen mula mencadangkan supaya pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew tampil menghulurkan bantuan.

Walaubagaimana pun cadangan itu hanyalah bersifat ‘gurauan’ semata-mata disebabkan sifat dermawan pendakwah bebas itu yang dilihat sentiasa ada di mana-mana sahaja bagi membantu golongan yang memerlukan dan kesempitan hidup.

Malah ada juga cadangan ‘nakal’ yang meminta Ustaz Ebit Lew untuk mengambil alih atau membeli pasukan bola sepak bermasalah ini supaya kebajikan pemain dan pegawai pasukan lebih terjamin.

Buat masa ini difahamkan terdapat dua pasukan yang sedang mengalami masalah untuk menyelesaikan gaji tertunggak pemain dan pegawai pasukan mereka iaitu Perak dan Sabah.

Berdasarkan laporan, pemain Perak sudah 2 bulan tidak menerima gaji, manakala Sabah pula difahamkan sebanyak 3 bulan gaji dan berlaku protes oleh pemain yang enggan menjalani latihan pasukan pada Khamis.

Keadaan tersebut mengundang kecaman peminat bola sepak tempatan yang bukan hanya menyalahkan pasukan terlibat, tetapi turut menghalakan kritikan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana meluluskan lesen penswastaan kelab pasukan-pasukan bermasalah ini.

Sedangkan dalam salah satu syarat kelulusan penswastaan tersebut adalah kedudukan kewangan pelabur baharu cukup kukuh bagi menampung kos pengendalian dan pengurusan pasukan sepanjang musim.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dalam responnya mengenai kemelut gaji melibatkan pasukan Liga-M menjelaskan pihaknya masih belum menerima laporan rasmi berhubung isu tersebut. – Semuanya bola

CATEGORIES

COMMENTS