Panas! Salahuddin tempelak kerajaan PN jumpa junta Myanmar

Panas! Salahuddin tempelak kerajaan PN jumpa junta Myanmar

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub berpendapat bukan masa sesuai untuk pihak kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengadakan pertemuan dengan kerajaan junta tentera Myanmar.

Timbalan Presiden AMANAH berkenaan berkata, PN sebaliknya perlu lebih sensitif dan tidak cuai dalam hal berkaitan urusan diplomasi dengan negara luar.

“Sudahlah kita dilihat seperti tunduk pada China, kini kita dikecam sebagai anti demokrasi kerana membuat perjumpaan dengan kerajaan junta pula.

“Malaysia merupakan negara terkedepan dalam memerangi isu-isu kemanusiaan, bagaimana imej negara di mata serantau?” soalnya dalam kenyataan malam ini.

Semalam, Duta Besar Malaysia ke Myanmar, Datuk Zahairi Baharim bertemu dengan Menteri Elektrik dan Tenaga Myanmar, Aung Than Oo di Naypyidaw.

Walhal dalam masa sama, negara-negara lain lantang memerangi junta tentera Myanmar yang telah menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat Myanmar secara sah dalam satu kudeta pada 1 Februari lalu.

Kesatuan Eropah (EU) contohnya, akan mengenakan sekatan ekonomi baharu terhadap tentera Myanmar.

Bahkan, blok itu bulan lalu mengenakan sekatan terhadap 11 individu dari Myanmar, termasuk komander tertinggi tentera dan pengerusi baharu suruhanjaya pilihan raya ekoran rampasan kuasa dan kekerasan yang digunakan ke atas penunjuk perasaan.

Mengulas lanjut, Salahuddin berpendapat kecuaian diplomasi berlaku berturut-turut ketika dunia tahu Parlimen di Malaysia digantung.

“Kerajaan Tatmadaw (junta tentera) kini dikecam dunia setelah melakukan rampasan kuasa ke atas kerajaan Win Myint Februari lalu.

“Junta Tentera membatalkan keputusan pilihanraya dengan mengatakan ia tidak sah.

“Ironinya, perkara sama berlaku di negara kita Februari tahun lalu, apabila demokrasi dicabul dan kerajaan yang tidak absah, yang bukan dipilih rakyat pula berkuasa,” tambahnya lagi.

Dalam hal berkaitan, Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) telah menggesa Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi penjelasan berhubung pertemuan duta terbabit dengan pihak junta Myanmar. – MD

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (1)
Disqus ( )