Shamsul Anuar, satu-satunya menteri UMNO yang enggan komen isu audio tular

Shamsul Anuar, satu-satunya menteri UMNO yang enggan komen isu audio tular

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah enggan memberi sebarang komen berhubung rakaman audio didakwa mirip suara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar

Ibrahim yang tersebar sejak Rabu lalu.

Beliau yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli turut enggan mengulas berhubung namanya disebut dalam audio perbualan berkenaan.

Shamsul Anuar yang ditemui pemberita pada Program Penghijauan Malaysia di Dataran Tasik Raban, dekat sini pada Sabtu sebaliknya hanya mengunci mulut dan menunjukkan isyarat tangan mohon maaf kepada pemberita dari dalam kenderaannya sebelum beredar meninggalkan majlis.

Baru-baru ini media melaporkan rakaman audio berdurasi 4 minit dan 17 saat itu telah tular di laman Facebook menerusi akaun Insider Malaysia.

Dalam audio itu kedengaran suara mirip Anwar yang memuji ucapan Ahmad Zahid dalam Perhimpunan Agung UMNO menerusi panggilan telefon.

Selain itu, suara mirip Ahli Parlimen Port Dickson turut menyatakan tentang harapannya akan ada menteri meletakkan jawatan lepas perhimpunan tersebut, namun perkara itu tidak berlaku.

Nama menteri yang dikatakan disebut dalam audio berkenaan dipercayai dikaitkan dengan Shamsul Anuar.

“Cuma tak dapat seorang menteri letak jawatan, tidak ada yang berani, hanya yang Perak, Shamsul, kalau dia boleh (letak jawatan). Kalau saya (Shamsul) respect mood perhimpunan, saya orang UMNO, saya patuh.. ambil, tapi tak apalah kita tengok siapa,” kata suara mirip Anwar itu.

Walau bagaimanapun Anwar dan Zahid dilaporkan menafikan terbabit dalam audio tular berkenaan. – AA

CATEGORIES

COMMENTS