Ramasamy dakwa Mahathir punca PH tumbang

Ramasamy dakwa Mahathir punca PH tumbang

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy mendakwa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad terlibat dalam rancangan untuk menumbangkang kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Feb tahun.

Pemimpin DAP itu berkata tindakan Mahathir meletakkan jawatan perdana menteri menjadi sebab utama kerajaan PH tumbang.

“Mahathir sengaja berbuat demikian. Mahathir memang mempunyai rancangan untuk tidak memberi jawatan PM kepada Anwar.

“Sekiranya Mahathir tidak letak jawatan semasa krisis dan memberi laluan Anwar, PH kekal menjadi kerajaan pada hari ini,” katanya dalam program Leaders Talking anjuran portal tempatan Vanakkam Malaysia.

Adun Perai diminta mengulas berhubung krisis politik tanah air pada Feb 2020 yang menyebabkan kerajaan PH tumbang selepas 22 bulan pentadbiran dan digantikan dengan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Muhyiddin Yassin.

Isu peralihan kuasa perdana menteri sebelum ini mencetuskan konflik terbuka dalam PH, yang menyebabkan insiden berbalas kenyataan antara penyokong Anwar dan Mahathir, yang ketika itu pengerusi Bersatu.

Penyokong Anwar mahu peralihan itu disegerakan dan menekan Mahathir untuk memberikan tarikh tetap peralihan. Namun sebahagian penyokong Mahathir mahu ahli parlimen Langkawi terus memegang jawatan sehingga habis penggal.

Akhirnya, PH tumbang setelah Mahathir meletakkan jawatan selepas Bersatu menarik diri daripada PH untuk bekerjasama dengan pihak lain, termasuk Umno dan PAS bagi membentuk kerajaan baru.

Sementara itu, Ramasamy menolak Anwar sebagai punca kejatuhan PH.

“Ada sebab lain seperti Azmin (Ali) keluar PKR. Muhyiddin tikam belakang Mahathir.

“Mungkin orang lain tidak berani berbincang perkara ini secara terbuka. Tapi, saya boleh beritahu Mahathir masih punca utama kejatuhan PH.

“Bukan orang lain, bukan Anwar, bukan Guan Eng atau Mat Sabu. Puncanya adalah Mahathir.

“Kami diitipu kerana mempercayainya. Mahathir khianati kami,” katanya. – MK

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (1)
Disqus ( )