Selepas MCA, Gerakan pula bantai DAP, dakwa wajah sebenar dah terbongkar

Selepas MCA, Gerakan pula bantai DAP, dakwa wajah sebenar dah terbongkar

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyifatkan kenyataan Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Ronnie Liu baru-baru ini berkaitan kaum Cina sebenarnya secara tidak langsung mendedahkan wajah sebenar parti pembangkang itu.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata pendirian Ronnie itu seolah-olah mengakui bahawa DAP adalah parti yang memperjuangkan kaum Cina, bukan rakyat Malaysia secara keseluruhan.

“Ini sedikit sebanyak telah ‘membogelkan’ wajah sebenar DAP. Khabar angin selama puluhan tahun ini mengenai DAP adalah parti rasis dan untuk Cina semata-mata memang terbukti,” katanya dalam kenyataan.

Ronnie baru-baru ini menegaskan bahawa DAP tidak perlu “mencairkan kecinaannya” dan dibataskan hanya untuk meraih sokongan orang Melayu.

Justeru, Dominic mencabar penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya menjelaskan kepada seluruh rakyat terutamanya kaum Cina mengenai perjuangan DAP yang sebenar.

Malah, beliau meminta semua pemimpin DAP supaya berhenti menipu rakyat bahawa DAP adalah parti yang memperjuangkan semua rakyat Malaysia.

“Peribahasa Melayu mengatakan ‘sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua’ itulah yang boleh diumpamakan parti DAP sekarang.

“Ingin menipu orang Melayu untuk meraih undi semata-mata sekarang terbukti penipuan DAP dibongkarkan oleh pemimpin partinya sendiri,” katanya. – Utusan

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (1)
Disqus (0 )