Peniaga ayam, A T Lim, 40-an, berkata mereka tidak pasti punca kenaikan harga terbabit, tetapi menjelaskan mereka menerima bekalan daripada pembekal pada harga antara RM9.50 hingga RM10 sekilogram.
“Terdapat banyak kenaikan sejak bulan lalu. Namun, kami tiada pilihan selain menetapkan harga runcit pada RM10.50 sekilogram atau harga lebih tinggi lagi.
“Memang setiap kali Ramadan harga ayam akan naik, tetapi ini yang paling tinggi,” katanya ditemui hari ini.
Lim berkata, disebabkan harga yang tidak berpatutan, ramai pelanggan tidak membeli ayam.
“Dalam kes saya, perniagaan saya merosot hingga 30 peratus, tetapi apa pilihan yang saya boleh buat? Bukan saya buat keuntungan besar,” katanya.
Peniaga lain ketika ditemui, mengatakan harga sekilogram ayam naik hingga 100 peratus berbanding harga tahun lalu.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, sedang meneliti punca kenaikan ayam segar dan makanan basah lain di negeri ini.
Ketua Penguat Kuasa KPDNHEP, Peter J Berinus Agang, berkata anggotanya melaporkan terdapat kenaikan harga terutama ayam segar di kebanyakan pasar basah sejak dua hari lalu.
“Kami meneliti semua pengeluar, pembekal dan peniaga bagi mengetuai puncanya. Kami jugak akan terus memantau keadaan bagi memastikan tiada kenaikan harga sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak.
Sementara itu, di Alor Setar, tinjauan mendapati peniaga ayam di sekitar Kedah menaikkan harga sejak seminggu lalu dan harga dijangka terus meningkat berikutan permintaan tinggi di pasaran.
Antara alasan peniaga kenaikan harga ayam segar adalah disebabkan peningkatan harga dedak ayam selain kos memproses dan sebagainya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tinjauan di tujuh gerai menjual ayam di Pasar Besar Alor Setar hari ini mendapati kebanyakan peniaga ayam meletakkan harga antara RM7.90 hingga RM8.80 sekilo.
Pengerusi Pasar Besar Alor Setar, Fauzi Sharif, berkata berlaku kenaikan harga ayam namun ia masih terkawal.
Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff, berkata hasil tinjauannya mendapati harga ayam ada yang mencecah hampir RM9 sekilogram.
Pengarah Urusan Ayam Bismi Empayar Sdn Bhd, Mazlina Kamarudin, berkata pihaknya mengakui berlaku kenaikan disebabkan kos dedak yang meningkat iaitu satu beg dedak ayam 50 kilogram yang sebelum ini RM85 naik menjadi RM100.
Katanya, selain itu kekurangan tenaga kerja daripada kalangan warga asing yang sudah dihantar pulang juga meningkatkan kos.
“Permintaan terhadap ayam juga meningkat namun kita sudah menyediakan bekalan sebanyak 160,000 ekor ayam untuk stok bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya ditemui di kilangnya di Simpang Empat, hari ini.
Sementara itu, Pengarah KPDNHEP Kedah, Rae Morn Verak, berkata Ops Catut 8.0 kini sedang dilaksanakan di negeri ini membabitkan cawangan Sungai Petani, Kulim dan Baling.
Beliau berkata, tumpuan pemeriksaan di peringkat cawangan membabitkan pemborong ayam di daerah berkenaan.
“Pihak penternak dan pemborong diberi tempoh masa untuk mengemukakan maklumat harga dan kos jualan ayam antara dua hari bagi Notis Pengesahan Maklumat Barang (NPMB) manakala Notis Bertulis (NB) lima hari.
“Ops catut 8.0 dilakukan membabitkan pemeriksaan di peringkat pengeluar, penternak, pengilang dan pemborong 2021,” katanya ketika dihubungi hari ini. – BH