Gempar! Polis ‘dipaksa’ guna Proton X70 sebagai kereta peronda?

Gempar! Polis ‘dipaksa’ guna Proton X70 sebagai kereta peronda?

KESELAMATAN warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak patut diperjudikan dengan peralatan atau kelengkapan yang tidak berkualiti dan tidak selamat untuk digunakan.

Difahamkan PDRM kini dalam proses perolehan ratusan Proton X70 sebagai kereta peronda polis (MPV) bagi menggantikan kenderaan lama yang sudah tidak sesuai lagi digunakan.

Namun, timbul isu apabila kenderaan gantian yang bakal diperoleh itu tidak melepasi ujian penilaian yang dilakukan PDRM.

Menurut sumber, kepimpinan PDRM membantah mengenai pemerolehan itu susulan ujian yang dilaksanakan di Maktab Teknik PDRM Bakri, Muar, Johor mendapati kenderaan itu gagal dari segi ujian ketahanan, penggunaan minyak, ujian keselamatan dan banyak lagi faktor lain.

“Malangnya, PDRM ‘dipaksa’ menerima juga X70 itu walaupun ia tidak sesuai dan tidak melepasi ujian dilaksanakan.

“Antara kelemahan kenderaan itu adalah tidak stabil ketika melalui selekoh tajam hingga terbalik ketika dalam pemanduan laju, sukar bergerak di kawasan berbukit yang licin dan becak selain mempunyai tangki minyak yang kecil,” katanya.

Menurutnya, jika benar PDRM ‘dipaksa’ menerima atau menggunakan kenderaan yang tidak sesuai untuk tugasan rondaan itu, maka keselamatan 135,000 warganya kini berdepan risiko.

“Kerajaan perlu mempertimbangkan mengenai isu ini dan agensi yang berkaitan juga perlu menyiasat jika berlaku salah guna kuasa oleh mana-mana pihak dalam proses pembekalan kenderaan terbabit,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, perkara itu juga sudah dibangkitkan oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim dalam sidang medianya di Nibong Tebal pada 7 April lalu.

Memetik laporan Bernama, Zainal Abidin ketika itu berkata, penggunaan kereta Proton X70 jenis pacuan dua roda hadapan itu selepas PDRM menjalankan pandu uji di Muar, Johor mendapati ia tidak sesuai dijadikan MPV polis.

PDRM sebelum ini memaklumkan Proton X70 akan digunakan dalam tugasan rondaan bagi menggantikan MPV lama model Proton Waja yang sudah melebihi had penggunaan.

Difahamkan, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador juga sudah menyuarakan bantahan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai perkara itu untuk tindakan lanjut. – Malaysiapost

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (1)
  • comment-avatar

    […] Gempar! Polis ‘dipaksa’ guna Proton X70 sebagai kereta peronda? […]

  • Disqus ( )