Panas! Pakar ekonomi bidas kerajaan PN, tindakan guna dana Kwan amat tidak bertanggungjawab

Panas! Pakar ekonomi bidas kerajaan PN, tindakan guna dana Kwan amat tidak bertanggungjawab

Kerajaan tidak sepatutnya menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menurut pakar ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid, dana berkenaan untuk digunakan generasi akan datang apabila sumber minyak dan gas negara berkurangan.

“Ini duit generasi akan datang, mengapa wang milik mereka diambil dengan begitu mudah sekali? Ini amat tidak bertanggungjawab,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Jelas Muhammed, sekiranya matlamat kerajaan adalah untuk membeli vaksin, terdapat banyak lagi sumber lain yang boleh digunakan.

Beliau mengambil contoh seperti mengenakan cukai kepada syarikat yang membuat keuntungan besar atau ‘durian runtuh’ ketika pandemik.

“Tetapi mengambil hak kanak-kanak dan generasi akan datang bukan jawapannya.

“Kerajaan boleh dengan mudah mengenakan cukai ‘durian runtuh’ ke atas syarikat sarung tangan.

“Malah pada hari yang sama ordinan ini dilaksanakan, kerajaan telah meminjam AS$1.3 bilion daripada pasaran kewangan. Kenapa perlu sentuh dana KWAN?

“Persoalannya, mengapa kerajaan menggunakan wang KWAN yang berjumlah lebih kurang RM18 bilion untuk membeli vaksin apabila peruntukan hampir RM5 bilion telah diumumkan untuk tujuan yang sama,” katanya.

Pada Rabu, media melaporkan kerajaan meluluskan undang-undang menggunakan dana KWAN untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Ia dilakukan melalui pewartaan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 pada Khamis.

Menurut Akta Kumpulan Wang Amanah negara 1988, dana itu dibayar melalui Kumpulan Wang Disatukan dan Petronas.

Dalam pada itu, Dr Muhammed menjelaskan orang ramai berhak mengetahui mengapa kerajaan memerlukan lebih banyak wang untuk vaksin dan berapakah jumlah wang yang diambil daripada KWAN.

“Ia tidak pernah digunakan walaupun ketika negara mengalami krisis kewangan Asia 1998 dan krisis kewangan dunia pada tahun 2008.

“Kerajaan ketika itu langsung tidak menyentuh dana KWAN.

“Perkara ini harus dihentikan, dan penggunaan dana KWAN hanya boleh diluluskan melalui proses Parlimen,” tegasnya. – AA

CATEGORIES

COMMENTS