KANUN gesa siasat segera kematian tahanan A.Ganapathy, segerakan IPCMC

KANUN gesa siasat segera kematian tahanan A.Ganapathy, segerakan IPCMC

KENYATAAN MEDIA

1. Biro Undang-Undang Parti Amanah Negara (KANUN) kesal dengan kejadian yang menimpa mendiang A Ganapathy yang dilaporkan meninggal dunia di Hospital Selayang tempoh hari akibat penderaan yang teruk selama 12 hari dalam tahanan pihak polis.

2. Kejadian suspek mati didera dengan kecederaan yang serius semasa dalam tahanan polis bukanlah perkara baru. Negara pernah beberapa kali digemparkan dengan peristiwa berulang seperti ini yang pernah dilaporkan berlaku kepada mendiang A Kugan (2009), Sugunar Chelladury (2013), Karuna Nithi (2013), Dharmendran Narayansamy (2013), Balamurugan Suppiah (2017) dan juga kes-kes lain yang mungkin berlaku tetapi tidak dilaporkan secara terbuka seperti ini.

3. KANUN menegaskan bahawa tidak ada mana-mana pihak dalam negara ini termasuklah pihak berkuasa berhak untuk mengambil tindakan sendiri tanpa mengikut saluran undang-undang yang sepatutnya. Sekiranya pihak polis mempunyai bukti yang cukup, maka dakwalah suspek di Mahkamah dan biarkan proses pendakwaan, pembelaan dan hukuman berjalan mengikut lunas undang-undang jika dibuktikan bersalah, bukannya didera dalam tahanan hingga membawa kepada kematian seperti ini.

4. KANUN menggesa agar Kerajaan Perikatan Nasional khususnya pihak Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara mengambil tanggungjawab penuh atas perkara ini dan melakukan siasatan dengan segera dan telus serta mengambil tindakan yang serius ke atas mana-mana pihak yang bertanggungjawab. Dakwaan bahawa mangsa dinafikan rawatan perubatan sepanjang ditahan adalah juga perkara yang sangat serius dan menafikan hak asasi setiap manusia dalam sebuah negara yang bertamadun. Kerajaan mestilah menyiasat dengan terperinci perkara ini dan memberikan penjelasan sebenar kepada rakyat.

5. Dengan kejadian yang tidak ada nokhtahnya seperti ini, sudah sampai masanya agar *Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019* diluluskan dengan segera. Ia bukan sahaja penting bagi memastikan keadilan yang sewajarnya dapat diberikan kepada mangsa dan keluarga mangsa, malah ia dapat membersihkan imej dan menaikkan reputasi serta kredibiliti pihak Polis DiRaja Malaysia.

6. Akhir sekali, KANUN dan Parti Amanah Negara merakamkan ucapan takziah kepada ibu dan keluarga mangsa dan berharap agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi kepada sesiapa pun. Keadilan mestilah diberikan kepada setiap rakyat di negara ini tanpa mengira apa pun latarbelakang agama atau bangsa mereka.

AHMAD ZAMRI BIN ASA’AD KHUZAIMI
Unit Hak Asasi Manusia
Biro Undang-Undang (KANUN)
Parti Amanah Negara
30 April 2021

CATEGORIES

COMMENTS