Otak di lutut: Polis buka kertas siasatan kes pembaca berita Awani

Otak di lutut: Polis buka kertas siasatan kes pembaca berita Awani

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka kertas siasatan terhadap kes pembaca berita sebuah stesen televisyen yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

Kertas siasatan kes berkenaan dibuka di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan sehingga boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata tindakan pembaca berita itu telah menimbulkan fitnah dan kebencian masyarakat terhadap pihak penguat kuasa terutama pasukan PDRM.

“Ini kerana tindakan yang dilakukan PDRM itu adalah berlandaskan peruntukan undang-undang yang sedia ada bagi tujuan mengekang pandemik COVID-19,” katanya kepada BH di Bukit Aman, semalam.

Acryl Sani mengulas insiden seorang pembaca berita yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah ketika membaca laporan berita. Hingga kini kes berkenaan masih dalam siasatan polis.

Laporan berkenaan adalah berhubung kejadian seorang peniaga burger di Kelantan dikenakan kompaun RM50,000 kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Selain Seksyen 504 Kanun Keseksaan, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian) yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan lain, Acryl berharap segelintir pihak di negara ini untuk tidak menimbulkan isu fitnah dan kebencian terhadap pihak berkuasa khususnya melalui media sosial.

Tindakan sedemikian sebenarnya akan menyebabkan keharmonian antara agensi penguat kuasa terutama pasukan polis dan masyarakat terhakis.

Katanya, masyarakat diminta untuk menghayati kembali prinsip Rukun Negara yang kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan yang dipelajari sejak dari bangku persekolahan.

“Kita berharap supaya masyarakat di luar sana untuk tidak menyebarkan sebarang kenyataan yang tidak berasas di media sosial sehingga boleh menghakis keharmonian antara masyarakat dan agensi penguat kuasa.

“Saranan saya, sekiranya mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan apa juga tindakan yang diambil oleh agensi penguat kuasa, sila majukan sebarang permasalahan yang dihadapi menggunakan saluran yang betul,” katanya.

Polis dan masyarakat adalah saling memerlukan antara satu sama lain dan budaya menularkan perkara-perkara yang tidak berasas berhubung ketidakpuashatian terhadap agensi penguatkuasa semakin hari semakin membimbangkan.

“Saya perhatikan perkara ini seolah-olah menjadi satu ‘trending’ dan sekiranya tidak diatasi maka kita bimbang ia akan menghakis kepercayaan dan keyakinan masyarakat kepada pihak polis.

“Justeru saya minta kepada semua pihak untuk menggunakan saluran yang betul dan tidak cuba menyebarkan sesuatu perkara tidak berasas atau yang belum diketahui lagi asas kebenaran dan kesahihan maklumatnya,” katanya. – BH

CATEGORIES

COMMENTS

Disqus ( )