Fatwa Haram rentas negeri

Fatwa Haram rentas negeri

1. Kita semua maklum bahawa fatwa mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Islam. Para ulama seperti Imam Asy-Syatibi dan Ibnul Qayyim mengangkat tinggi kedudukan seorang mufti dengan menyatakan bahawa mereka adalah wakil Nabi dan pewaris Baginda SAW.

2. Baru-baru ini Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan fatwa haram merentas negeri. Namun, tidak sedikit netizen yang mempersoalkan fatwa tersebut.

3. Secara peribadi, saya sedih melihat keadaan yang berlaku. Institusi fatwa yang seharusnya dihormati dan disanjung tinggi oleh masyarakat kini telah dicemari dengan pelbagai kritikan dan tohmahan.

4. Pada pandangan saya, kritikan terhadap fatwa tersebut adalah manifestasi dari kekecewaan dan kemarahan rakyat terhadap layanan kerajaan terhadap mereka.

5. Rakyat merasakan bahawa mereka seperti dianak tirikan, dibuli dan ditekan oleh kerajaan dengan pelbagai bentuk undang-undang, peraturan dan hukuman. Tidak cukup dengan undang-undang dan peraturan sediada, kini mereka seolah-olah dipaksakan dengan dalil agama pula.

6. Kemarahan mereka tidak dapat dibendung lagi. Ia membuak-buak. Lalu apa sahaja arahan dan keputusan dari kerajaan akan dicemuh, dikritik dan dipertikaikan sekalipun ia datang dari institusi fatwa.

7. Realitinya, rakyat dihukum dan ditekan di sana sini oleh kerajaan tetapi apabila kesalahan itu melibatkan VIP, selebriti dan Menteri, mereka seolah-olah kebal dari hukuman.

8. Bermacam-macam keluhan dan kisah sedih kita dengar di sana sini dari rakyat, antaranya; Cucu tidak dapat rentas negeri untuk menziarahi arwah nenek yang meninggal, anak tidak dapat rentas negeri menziarahi arwah ayah yang meninggal, ibu tidak dapat turut serta di dalam majlis pernikahan anak, peniaga kecil dikompaun RM50 ribu, pelajar dikompaun RM1500 dan bermacam-macam lagi. Namun dalam masa yang sama, sebahagian VIP, selebriti dan Menteri dilihat bebas ke sana ke mari tanpa sekatan, boleh anjurkan majlis perkahwinan gilang gemilang tanpa SOP dan macam-macam lagi.

9. Saya percaya jika kerajaan bertindak adil dan saksama terhadap semua pihak, kritikan terhadap fatwa tersebut mungkin tidak akan berlaku.

10. Namun segalanya sudah terlambat. Kepercayaan rakyat terhadap kerajaan sekarang sudah terhakis. Akhirnya mufti Wilayah Persekutuan menjadi mangsa serangan rakyat akibat dari Kerajaan yang Gagal.

#kitajagakita

Fitri Asmuni

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )