Kejam! Emak meninggal dunia selepas polis rampas tangki oksigen untuk diberi pada VIP

Kejam! Emak meninggal dunia selepas polis rampas tangki oksigen untuk diberi pada VIP

Seorang remaja di India mendakwa ibunya meninggal dunia selepas tangki oksigen untuk rawatan COVID-19 dirampas polis.

Lebih memilukan apabila dia mendakwa tangki oksigen itu dipercayai akan diberikan kepada seorang kenamaan.

Remaja berusia 17 tahun itu berkata ketika kejadian dia sedang menjaga ibunya yang kritikal akibat COVID-19.

Namun tidak lama kemudian, beberapa anggota polis masuk ke bilik wad dan merampas silinder oksigen yang digunakan bagi merawat ibunya.

Video remaja itu yang melutut dan menangis merayu kepada anggota polis berkenaan agar mengembalikan semula tangki oksigen ibunya tular di media sosial.

Permintaan pemuda yang dikenali sebagai Ansh Goyal itu walau bagaimanapun tidak diendah.

“Di mana saya nak cari silinder? Saya datang (ke hospital) selepas berjanji kepada keluarga bahawa saya akan bawa pulang ibu dengan selamat,” kata remaja itu.

“Ibu saya tidak dapat bernafas. Kami beri dia CPR beberapa kali, tetapi tidak dapat menyelamatkannya,” kata Ansh kepada Times of India.
Ibu Ansh Goyal meninggal dunia dua jam kemudian.

Polis dalam satu kenyataan berkata sedang menyiasat kes berkenaan.

Mereka bagaimanapun menolak tuduhan tersebut dan mendakwa silinder berkenaan kosong.

“Lelaki itu meminta polis untuk memberikannya silinder oksigen untuk rawatan ahli keluarganya.

“Tiada siapa yang merampas tangki silinder itu.

“Video itu mengelirukan,” kata Superintendan Polis Botre Rohan Pramod.

Namun dia tidak menjelaskan mengapa polis perlu mengambil tangki oksigen yang kosong.

Sementara itu, Ketua Pengarah Polis Tambahan (ADG) Rajiv Krishna berkata tindakan tegas akan diambil jika anggota polis terbabit terbukti bersalah. – AA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )