Panas! Selepas Dewan Ulamak PAS, Takiyuddin pula tempelak IGP, jangan tafsir undang-undang ikut emosi

Panas! Selepas Dewan Ulamak PAS, Takiyuddin pula tempelak IGP, jangan tafsir undang-undang ikut emosi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan menasihatkan ketua perkhidmatan dalam kerajaan supaya lebih berhati-hati ketika bercakap mengenai undang-undang dan tidak membuat tafsiran mengikut emosi.

Takiyuddin dipetik Bernama berkata mana-mana pihak juga tidak boleh sewenang-wenangnya membuat pentafsiran terhadap peruntukan perlembagaan kerana undang-undang adalah suatu perkara jelas.

“Saya hendak memaklumkan bahawa sebagai menteri yang jaga perkhidmatan awam, saya hendak nasihatkan penjawat-penjawat awam, pegawai-pegawai kerajaan terutamanya ketua-ketua perkhidmatan dalam kerajaan supaya lebih berhati-hati apabila bercakap mengenai perkara yang berkaitan undang-undang.

“Sebagai contoh, dalam perlembagaan Perkara 140 jelas mengatakan bahawa untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada satu suruhanjaya yang dinamakan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

“Ini adalah satu suruhanjaya yang akan mengendalikan urusan berkaitan kenaikan pangkat, tatatertib, perkara kebajikan dan sebagainya terhadap seluruh anggota polis berjumlah hampir 130,000,” katanya yang juga setiausaha agung PAS itu.

Walaupun tidak menyebut nama, kenyataan menteri undang-undang itu dipercayai merujuk Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang membangkitkan soal campur tangan politik dalam perjawatan anggota pasukan itu melalui SPP.

 

Takiyuddin juga dipetik Bernama menegaskan perlembagaan jelas menyatakan bahawa SPP ini mesti dipengerusikan oleh menteri yang bertanggungjawab tentang polis dan dalam konteks ini adalah Menteri Dalam Negeri.

“Jadi, jangan pula ada mana-mana pihak yang mempersoalkan, ini adalah peruntukan perlembagaan.

“Sekiranya ada apa-apa isu atau masalah dalam pentadbiran sesuatu jabatan, saya yakin pegawai-pegawai kerajaan tidak boleh mendedahkan perkara ini di tempat yang tidak sepatutnya.

“Sebaiknya mereka boleh dedahkan dalam mesyuarat di peringkat kementerian, suruhanjaya.

“Adalah tidak wajar untuk seorang pegawai kerajaan kononnya mendedahkan perkara ini di media massa,” katanya.

Takiyuddin yang juga ahli parlimen Kota Bharu selanjutnya dipetik Bernama berkata dari segi pentadbiran, perbuatan sedemikian boleh dipanggil tindakan yang membelakangkan atau mencela pihak kerajaan.

“Bukan saya kata pegawai kerajaan tidak boleh beri pandangan atau mengkritik tetapi mereka boleh menggunakan saluran,” katanya.

 

Pada sidang media terakhirnya sebagai IGP pada 30 April lalu, Abdul Hamid mendedahkan bagaimana ada orang politik – atau menteri – mencampuri urusan dalaman PDRM.

Antara dakwaan dibuat Abdul Hamid ialah cubaan mereka mengatur pelantikan pegawai-pegawai kanan dalam pasukan keselamatan terbabit.

Hal tersebut, katanya, sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu. Untuk rekod menteri yang dimaksudkan Abdul Hamid mencampuri urusan PDRM ialah Hamzah Zainudin.

Hamzah merupakan menteri dalam negeri merangkap setiausaha agung Bersatu.

Bekas pengarah Cawangan Khas Bukit Aman itu kemudian mencadangkan agar Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) diketuai oleh tokoh yang bebas dan tidak ada kepentingan seperti hakim atau bekas hakim.

 

Mengikut Perkara 140(3) Perlembagaan Persekutuan, SPP perlu dipengerusikan oleh menteri yang bertanggungjawab ke atas PDRM, iaitu menteri dalam negeri.

Menurut Abdul Hamid lagi, menteri sepatutnya hanya terlibat dalam penggubalan dasar dan tidak harus terbabit dalam mengatur pelantikan pegawai kanan pasukan polis.

Susulan itu, terdapat gesaan daripada pihak pembangkang dan beberapa ahli politik Umno supaya Hamzah disiasat.

Hamid merupakan timbalan pengarah Cawangan Khas Bukit Aman sebelum dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri ketika pentadbiran Najib Razak.

Pada masa itu dia mendakwa penukarannya dilakukan kerana ada kaitan dengan tindakannya menyiasat skandal 1MDB.

Selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum pada 2018, Hamid dipanggil semula untuk bertugas dan dilantik sebagai IGP dengan kontrak selama dua tahun. – MK

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )