
PDRM : Kacau-bilau jika orang politik campur tangan, kata Asmuni
Campur tangan politik dalam perkhidmatan awam akan menyebabkan berlaku kacau-bilau di jabatan terbabit lebih-lebih lagi jika ia membabitkan pasukan keselamatan.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, urusan dalam perkhidmatan awam sepatutnya dikendalikan oleh ketua jabatan masing-masing termasuklah dalam hal membabitkan pertukaran pegawai.
Menurut beliau, campur tangan politik hanya akan menyebabkan perkhidmatan awam tidak bebas dan cenderung untuk memihak kepada pihak tertentu.
“Misalnya pertukaran pegawai-pegawai daerah di peringkat negeri, takkan menteri besar nak campur tangan. Tugas itu mestilah diuruskan Setiausaha Kerajaan Negeri sebab beliau yang lebih tahu.
“Dalam kes organisasi polis pula mereka ada Ketua Polis Negara yang bertanggungjawab terhadap pengurusan kepolisan termasuklah pertukaran pegawai. Orang politik jangan campur tangan dalam urusan pentadbiran awam, kacau-bilau jadinya,” kata beliau pada Program Beli Belah Pakaian Raya di Meru Raya di sini hari ini.
Asmuni berkata, institusi awam mesti dibebaskan daripada dipengaruhi orang politik kerana situasi itu boleh memberi tekanan kepada musuh politik mereka. – Utusan