Menteri ‘air suam’ ingatkan rakyat, lupakan hasrat balik kampung beraya

Menteri ‘air suam’ ingatkan rakyat, lupakan hasrat balik kampung beraya

Orang ramai sudah boleh melupakan hasrat untuk merentas negeri atau pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan sehingga 17 Mei ini atau sehingga tarikh lain diputuskan kelak.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira lebih 13 kluster akibat merentas negeri dilaporkan di beberapa negeri sejak April lalu.

Malah katanya, beberapa kluster komuniti turut dikesan membabitkan kontak rapat dalam kalangan ahli keluarga dan komuniti setempat selepas menghadiri majlis dan program.

“Kami mengesan beberapa kluster yang tercetus dalam komuniti akibat majlis dan program seperti majlis pengebumian, perkahwinan, sambutan perayaan, majlis kesyukuran, majlis pertunangan dan bencana banjir,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, perjalanan rentas negeri masih tidak dibenarkan, sekali gus umat Islam tidak boleh ‘balik kampung’ untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dijangka pada 13 Mei ini.

Sejak Disember tahun lalu hingga April lepas, jumlah kluster rentas negeri yang direkodkan adalah 42 membabitkan 5,800 kes positif.

Dalam bulan lalu sahaja terdapat 11 kluster rentas negeri dikesan dan antara negeri yang berkaitan dengan kluster itu adalah Kelantan.  – Utusan

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )