Peja harap UMNO tak buat jajaran baru

Peja harap UMNO tak buat jajaran baru

UMNO dan Barisan Nasional (BN) diharap tidak membuat keputusan untuk bertanding secara sendirian dan membuat jajaran baharu.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu beliau berharap perkara berkenaan tidak berlaku.

“Tapi teruskan dengan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baik.

“Saya pun gembira tengok prestasi menteri-menteri tetapi mungkin ada yang perlu dipertingkatkan,” katanya kepada pemberita di program Iftar Media dan Previu Video Raya di sini pada Ahad.

Ahmad Faizal menambah, tidak seharusnya dipecahkan keharmonian yang ada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kita seronok duduk dalam kerajaan PN sekarang. Kalau kita semua bekerjasama dengan baik, ini baik untuk rakyat dan baik untuk negara,” katanya.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi dalam PN, Ahmad Faizal berkata, ia kini pada tahap 20 peratus.

“PN kita dah bincang (pembahagian kerusi) di Semenanjung bersama Pas dan rundingan berjalan cukup baik,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai desas-desus akan berlakunya rombakan kabinet, Ahmad Faizal berkata, beliau tidak mengetahui perkara berkenaan.

“Saya tak tahu, saya tak ada dengar apa-apa.

“Yang pastinya saya kira Perdana Menteri bersama dengan barisan kabinet sedang menangani masalah pandemik Covid-19, masalah ekonomi rakyat dan pelbagai masalah politik yang sedia ada.

“Semuanya sedang bekerja sebagai satu pasukan dan saya berpandangan mereka bekerjasama baik sebagai satu pasukan. Tak perlu kita nak ubah apa-apa. Pasukan yang ada ini sepatutnya kita perkuatkan, perkemaskan lagi,” katanya.

Pada Ahad, sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa PN akan mengadakan satu mesyuarat dipercayai bagi membincangkan isu berhubung masa depan gabungan itu selepas sokongan UMNO tamat Ogos ini. – SH

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )