Panas! Exco Perak buat laporan polis

Panas! Exco Perak buat laporan polis

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri membuat laporan polis terhadap sebuah portal berita berhubung satu laporan mengenai kedaifan hidup seorang penduduk di sini yang menjatuhkan reputasi beliau sebagai wakil rakyat.

Abdul Yunus berkata, artikel yang dimaksudkan ialah berita seorang warga emas yang tinggal di sebuah rumah daif di Kampung Parit Telok Pial, Kuala Kurau di sini bertajuk ‘Tidak ada wakil rakyat datang menjenguk’ dalam portal berkenaan pada 29 April lalu.

Menurutnya, tajuk berita itu seolah-olah menuduh beliau sebagai pemimpin di kawasan ini gagal dalam menjaga kebajikan rakyat di sini.

“Artikel terbitan portal itu berniat jahat, mengelirukan dan berunsur fitnah,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini semalam.

Abdul Yunus berkata, sebenarnya keluarga warga emas itu telah menerima sebuah rumah baharu di bawah bantuan Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang dibina susulan tragedi yang menimpa cucunya yang maut tertusuk pisau pada 2019.

Katanya, tragedi itu telah mendedahkan kemiskinan keluarga ini yang mendiami rumah yang tidak selamat.

“Untuk itu kerajaan telah mengambil tindakan segera dengan meluluskan pembinaan sebuah rumah baru di kampung yang sama, kira-kira 500 meter dari tapak asal.

“Pembinaan rumah itu telah dimulakan pada 17 Febuari tahun lalu dan diduduki oleh keluarga ini setelah siap pembinaannya.

“Keengganan warga emas itu untuk tinggal bersama anak dan menantunya di rumah baru menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan dan memanipulasikan kisah hidupnya yang tinggal di rumah yang uzur,” katanya.

Katanya, berita berkenaan memberi gambaran buruk dan mencipta persepsi negatif dalam kalangan orang ramai seolah-olah beliau sebagai wakil rakyat yang tidak menjalankan tanggungjawab.

Menurutnya, ia juga menjatuhkan imej agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal seolah-oleh langsung tidak menunaikan tugas dan menjatuhkan maruah pemimpin masyarakat yang lain.

“Saya minta siasatan dijalankan dan jika wujud elemen salah laku oleh wartawan berkenaan,

Saya mahu ia dibawa ke muka pengadilan. Saya akan berbincang dengan peguam saya untuk tindakan saman malu terhadap portal berita dan wartawan yang berkenaan,” katanya. – SP

CATEGORIES

COMMENTS