
Umat Islam komen negatif larangan pulang beraya perlu bertaubat – Mufti
Umat Islam perlu menghormati peranan institusi agama, termasuk patuh kepada keputusan yang dibuat ulil amri dalam hukum merentas negeri bagi tujuan menyambut Aidilfitri, termasuk ketika wabak adalah haram serta berdosa.
Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang, berkata kenyataan dikeluarkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah, baru-baru ini, adalah keputusan bersama yang dibuat selepas muzakarah kebangsaan yang dihadiri semua mufti negeri dan ilmuan dilantik Yang di-Pertuan Agong.
“Mutakhir ini, kita melihat bagaimana sikap masyarakat terhadap kenyataan yang dikeluarkan pihak berwajib sedangkan ia tidak sepatutnya berlaku.
“Kita ambil contoh kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan larangan merentas negeri untuk menyambut Aidilfitri di kampung, apa yang disebut mufti itu sebenarnya juga adalah keputusan selepas mendapat maklum balas daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan mengambil kira penularan pandemik COVID-19 yang semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Agihan Ayam Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) kepada keluarga asnaf di Masjid Namek, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fadzil berkata, apa yang dikatakan Mufti Wilayah Persekutuan itu adalah sekadar menyampaikan keputusan dibuat ulil amri yang diperturunkan kuasa dan apabila tidak berlaku kepatuhan dalam kalangan umat Islam, maka ia adalah berdosa.
“Jadi saya menasihatkan umat Islam secara keseluruhan, marilah bersama-sama menghormati institusi agama supaya imej ini tidak dicalar oleh umat Islam itu sendiri.
“Ini kerana masyarakat bukan Islam melihat dari jauh bagaimana umat Islam sendiri sudah tidak menghormati institusi agama di negara kita,” katanya.
Fadzil berkata, bagi mereka yang sudah menulis pelbagai komen negatif di media sosial berhubung keputusan larangan itu, maka mereka harus bertaubat dan berazam tidak mengulangi perbuatan itu.
“Kita mengharapkan pertama seelok-eloknya kalau kita sedar yang kita telah melakukan kesalahan, kita hendaklah bertaubat kepada Allah.
“Sekiranya kita mahu padam balik apa yang kita tulis di media sosial, mungkin agak susah kerana ia sudah viral, jadi memadai kita menginsafi dengan apa yang kita lakukan serta berazam tidak akan mengulanginya kembali,” tegasnya. – BH