
Panas! Polis siasat wanita dakwa dirogol kenalan ADUN Gombak Setia selepas enjoy berkaraoke
Seorang wanita mendakwa dirogol pada Disember tahun lalu, dan menamakan dua kenalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham, dalam laporan polis dibuatnya berhubung kejadian itu.
Seorang daripada mereka ialah pemimpin bahagian parti komponen Perikatan Nasional (PN), manakala seorang lagi dikatakan sebagai kenalan lama Hilman, Malaysiakini melaporkan.
Laporan polis itu didedahkan bekas pemimpin Umno, Lokman Adam, menurut portal itu.
Berdasarkan laporan polis, mangsa mendakwa dijemput Hilman ke sebuah hotel di Kuala Lumpur untuk meraikan ulang tahun kelahiran bersama kenalan rapatnya dan dua rakan wanita lain, pada Jumaat, 4 Dis 2020.
Wanita itu berkata, selepas makan malam mereka semua pergi berkaraoke yang mana dia mengambil minuman alkohol sehingga mabuk dan seorang rakan mangsa memberitahu ketua bahagian parti PN itu menyertai mereka ketika di bilik karaoke.
Mangsa berkata, ingatannya samar mengenai apa yang berlaku selepas berkaraoke, tetapi menyatakan dia berasa Hilman menolongnya untuk berjalan.
Ingatan terakhir wanita itu sebelum tidak sedarkan diri adalah wajah kenalan Hilman di atasnya, menurut laporan Malaysiakini.
Menurut laporan polis, wanita itu kemudian bangun pada 4 pagi (Sabtu, 5 Dis 2020) di bilik hotel seorang diri dan mendapati dirinya tidak memakai pakaian dan mengesyaki telah dirogol selepas menjumpai kondom di bilik mandi.
Seorang rakan memberitahunya bahawa dia telah meninggalkannya di bilik hotel bersama seorang rakan wanita lain, yang terakhir dilihat pada malam itu dengan ketua bahagian parti PN berkenaan.
Dia percaya Hilman tidak bertanggungjawab atas serangan seksual itu, namun “tidak pasti” yang mana antara dua rakan Hilman itu yang melakukannya.
Laporan polisnya menyatakan bahawa dia membawa barang dari hotel sebagai bukti sokongan untuk kesnya.
Polis mengesahkan sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. – FMT